Rabu, 15 Februari 2017 | 6:34pm

Jurang digital pedalaman dikurangkan menjelang 2025

SEMATAN: Kerajaan negeri mensasarkan sebahagian besar kawasan pedalaman di Sarawak akan dihubungkan dengan talian komunikasi berkelajuan tinggi menjelang tahun 2025.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom berkata, dalam tempoh itu kawasan yang kini tidak mempunyai jaringan komunikasi bakal dihubungkan dengan pembinaan menara telekomunikasi.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat sentiasa peka dan mencari kaedah terbaik untuk memastikan jurang digital luar bandar dan bandar dikecilkan.

"Kemudahan telekomunikasi antara fokus kerajaan negeri, selain kemudahan asas lain untuk disediakan di kawasan luar bandar supaya penduduk sentiasa dapat berhubung dengan dunia luar.

"Kerajaan negeri akui kos untuk membina sebuah menara telekomunikasi di kawasan luar bandar adalah tinggi, namun itu tidak akan dijadikan alasan kerana apa yang lebih penting ialah penduduk menikmati kemudahan komunikasi yang terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi Kampung Telok Melano di sini, semalam.

MENTERI Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom (kanan). - Foto Nadim Bokhari

Penduduk Telok Melano, penempatan terakhir di penghujung sebelah barat Borneo yang sebelum ini tidak menerima perkhidmatan telekomunikasi yang sempurna kini sudah mampu menarik nafas lega apabila kemudahan komunikasi dipertingkatkan di kawasan berkenaan.

Rundi berkata, dengan pembinaan menara itu, sektor pelancongan antara yang dilihat berpotensi untuk dilonjakkan, khususnya kepada pemilik rumah inap desa di Telok Melano.

"Saya berharap dengan adanya menara komunikasi berkelajuan tinggi dapat digunakan sebaik mungkin masyarakat Telok Melano untuk mendapatkan maklumat dan berhubung.

"Jurang digital mampu memberikan impak positif kepada masyarakat, khususnya meningkatkan pendapatan kerana keunikan Telok Melano dapat diperkenalkan ke seluruh dunia," katanya.

Berita Harian X