Rabu, 15 Februari 2017 | 5:27pm
PENGARAH Urusan Fujifilm Malaysia, Yoshitaka Nakamura (kiri) diberi penerangan oleh Jurutera teknikal jualan Tommy Lim (kanan) ketika mengadakan lawatan di sekitar ruang bilik pameran selepas melancarkan Pusat Khidmat Fujifilm di Hicom Glenmarie hari ini. - Foto BERNAMA
BILIK pameran Seni Grafik di Pusat Khidmat Fujifilm. - Foto BERNAMA

Fujifilm Malaysia buka pusat servis tercanggih

Oleh Suffian A Bakar

suffian@bharian.com.my

SHAH ALAM: Fujifilm (Malaysia) Sdn Bhd menyasar peningkatan sekali ganda pendapatannya kepada RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang daripada RM250 juta ketika ini.

Sasaran itu bakal dipacu permintaan terhadap barisan penyelesaian pengimejan komprehensif yang ditawarkan syarikat itu kepada pelanggan profesional, industri dan orang awam.

Pengarah Urusannya, Yoshitaka Nakamura, berkata barisan penyelesaian itu merangkumi pengimejan foto, seni grafik dan pengimejan perubatan.

Katanya, sasaran itu juga dijangka disumbangkan oleh Pusat Servis Fujifilm terbaharu bernilai RM8 juta yang dibuka di Shah Alam.

"Kemudahan terbaharu seluas 4,500 kaki persegi itu menyediakan pelbagai perkhidmatan dan keupayaan Fujifilm sebagai maklum balas kepada keperluan pasaran yang pelbagai.

"Kami percaya kemudahan itu akan dapat meningkatkan kepakaran, kualiti dan penggunaan masa pelanggan," katanya pada pelancaran pusat servis terbaharu Fujifilm itu di sini, hari ini.

Yoshitaka berkata, kemudahan terbaharu itu bukan saja pertama di negara ini, malahan pertama di rantau ini yang menawarkan teknologi terkini dalam pengimejan foto, perubatan, grafik, perindustrian, media rakaman dan sains hayat.

Katanya, pusat servis unik itu lebih daripada bilik pameran atau tempat demonstrasi konvensional, berikutan ia turut berfungsi sebagai bengkel bagi pelanggan mengalami penyelesaian yang ditawarkan.

Beliau berkata, pelanggan juga boleh mendapat nasihat daripada perunding pakar Fujifilm, yang menawarkan teknologi penyelesaian terbaik kepada pelanggan.

"Terdapat beberapa penawaran yang pertama di kemudahan itu, seperti bilik pameran Sistem Perubatan Fujifilm yang mengetengahkan teknologi pengimejan lanjutan," katanya.

Yoshitaka berkata, bilik pameran seni grafik pula menampilkan penyelesaian sehenti terbaik dalam kelasnya bagi pencetakan 'inkjet' digital format lebar.

Wonder Photo Shop menawarkan hab gaya hidup bagi pendidikan dan inspirasi fotografi bertujuan menggalakkan kreativiti pelanggan dalam menukar foto yang diambil menerusi telefon pintar menjadi lebih menarik dan kreatif, katanya.

info

* Bilik pameran perubatan interaktif bernilai RM4 juta bolehkan doktor dan jururadiografi buat simulasi prosedur guna sistem pengimejan dan maklumat diagnostik Fujifilm paling sofistikated, daripada 3D mammografi, Double Balloon enteroscopy (DBE) hinggalah kepada Sistem Pengurusan Maklumat SYNAPSE

Berita Harian X