Selasa, 14 Februari 2017 | 8:37pm

Hartalega raih laba RM193.9 juta

KILANG Hartalega di Sepang. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Hartalega Holdings Bhd, pengeluar sarung tangan sintetik terbesar dunia mencatatkan keuntungan bersih RM193.9 juta bagi sembilan bulan berakhir 31 Disember 2016.

Keuntungan sebelum cukainya dalam tempoh dikaji pula mencecah RM230.2 juta, manakala pendapatan yang diraihnya sepanjang sembilan bulan itu meningkat 18 peratus kepada RM1.2 bilion.

Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2016, Hartalega mencatatkan keuntungan bersih RM66.4 juta, sembilan peratus lebih rendah berbanding RM72.9 juta yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Prestasi terjejas akibat kerugian tukaran asing belum direalisasi yang timbul daripada penilaian semula pinjaman yang disebut harga dalam dolar Amerika Syarikat (AS) serta nilai saksama kontrak hadapan tukaran asing yang dibuat untuk tujuan menjamin hasil jualan yang disebut harga dalam dolar.

Bagaimanapun, keuntungan operasi mencecah RM107.8 juta bagi suku tahun berkenaan, iaitu 20 peratus lebih tinggi berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Margin keuntungan operasi juga meningkat kepada 23.6 peratus. Ini menunjukkan bahawa dari segi operasi, prestasi kukuh dicatatkan pada suku tahun yang dilaporkan.

Keuntungan sebelum cukai bagi suku tahun dikaji pula berjumlah RM78.3 juta dengan pendapatan diraih sebanyak RM456.2 juta.

Sejajar dengan komitmennya untuk menghasilkan nilai kepada pemegang saham, Lembaga Pengarah Hartalega mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak dua sen sesaham satu peringkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2017, mengikut tarikh kelayakan pada 10 Mac 2017 dan perlu dibayar pada 29 Mac ini.

Pengarah Urusan Hartalega, Kuan Mun Leong, berkata syarikat terus mencapai kemajuan positif dari segi pertumbuhan hasil dan keuntungan operasi dalam tempoh sembilan bulan dan juga suku ketiga yang dilaporkan.

"Kami berjaya meningkatkan angka jualan berasaskan permintaan yang lebih tinggi dan juga usaha menambah kapasiti pengeluaran secara berterusan.

"Keuntungan terjejas akibat kesan kerugian tukaran asing yang belum direalisasi. Kerugian ini timbul akibat penilaian semula pinjaman yang disebut harga dalam dolar dan nilai saksama kontrak tukaran asing yang dilaksanakan," katanya.

Berita Harian X