Isnin, 13 Februari 2017 | 9:40pm

4 maut runtuhan salji di Perancis

PUSAT peranginan ski di Tignes, Perancis. - Foto Reuters
PUSAT peranginan ski di Tignes, Perancis. - Foto Reuters

LYON: Sekurang-kurangnya empat orang terkorban di banjaran Alps Perancis hari ini, selepas satu kejadian runtuhan salji menimbus sembilan orang yang berada di luar kawasan luncur ski.

Pasukan perkhidmatan penyelamat berkata, kemalangan itu berlaku berhampiran sebuah pusat peranginan ski di Tignes.

"Lima masih tertimbus di bawah timbunan salji besar," kata seorang pegawai penyelamat daripada kawasan berhampiran di Albertville.

Pada mulanya, pekerja penyelamat berkata mereka menemui dua mayat manakala dua mangsa lagi masih hidup, namun kemudian melaporkan empat orang terkorban.

Dalam satu kenyataan oleh stesen ski menyebut, runtuhan salji membabitkan kawasan seluas 400 meter berpunca daripada pergerakan sekumpulan peluncur di kawasan lebih tinggi.

Dua helikopter, pekerja penyelamat dan anjing pengesan dikerahkan mencari mangsa yang masih hilang dalam kemalangan terburuk di negara itu sejak musim luncur ski tahun ini bermula.

Belum insiden itu, 13 kemalangan sudah dicatatkan di Alps dan Pyrenees setakat musim sejuk ini, yang mengorbankan tga nyawa.

Pada musim sejuk tahun lalu, 45 kemalangan dicatatkan dengan 21 kematian. - AFP

Berita Harian X