Isnin, 13 Februari 2017 | 1:01pm

Protege tersingkir jadi artis rakaman Akim, Hazama

MENTOR (dari kiri) Tomok, Black, Hazama dan Akim pada konsert penentuan protege pilihan Hazama & Akim Mentor Milenia 2017 di Plaza Alam Sentral. - Foto Mahzir Mat Isa
MENTOR (dari kiri) Tomok, Black, Hazama dan Akim pada konsert penentuan protege pilihan Hazama & Akim Mentor Milenia 2017 di Plaza Alam Sentral. - Foto Mahzir Mat Isa

SHAH ALAM: Penyanyi, Hazama dan Akim, sepakat memutuskan untuk mengambil protege yang tidak terpilih meneruskan saingan dalam pertandingan realiti Mentor Milenia 2017 sebagai artis rakaman mereka.

Kedua-dua artis terbabit berbuat demikian sebagai menghargai bakat protege mereka yang tersingkir dalam pusingan pemilihan yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini malam tadi.

Hazama berkata, protegenya, Serra, dan anak didik Akim, Farhan, dipilih sebagai artis sulung di bawah syarikat rakaman ditubuhkan mereka, Paradox.

"Saya dan Akim sepakat untuk memastikan protege kami yang gagal ke peringkat seterusnya diberi peluang berkongsi bakat mereka di arena industri hiburan kita.

"Serra umpamanya mempunyai pakej lengkap dan bersedia untuk diketengahkan sebagai penyanyi. Jadi, saya percaya dia sudah boleh berjuang tanpa perlu melalui pertandingan ini," katanya kepada BH Online.

Akim juga sependapat, Farhan mampu meneruskan bakat dimiliki dan mencuba nasib sebagai artis rakaman.

FARHAN dan Serra. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
FARHAN dan Serra. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Mereka turut senada berkata, ada kalanya bukan semua peserta yang mempunyai bakat sesuai menyertai pertandingan realiti.

Pada pertandingan pembukaan malam tadi, Akim memilih Anna dan Elica manakala Hazama meletakkan kepercayaan pada Usop serta Balqis untuk meneruskan cabaran dalam pertandingan itu.

Persaingan pada musim ini dilihat lebih sengit dan memberikan warna yang menarik kepada program Mentor Milenia musim kedua. Akim dan Hazama turut mengakui sukar membuat pilihan kerana kualiti peserta sangat baik.

Masih mengekalkan Hazama, Akim dan Black sebagai mentor, musim kali ini turut menampilkan wajah baharu iaitu Tomok yang menggantikan Azlan.

Black dan Tomok masing-masing bakal memilih dua protege yang bakal mewakili pasukan mereka pada konsert Ahad ini.

Mentor Milenia 2017 turut memperkenalkan sistem pemarkahan juri profesional dengan menampilkan juri tetap, Datuk Hattan, bersama seorang lagi artis jemputan. Penilaian mereka mewakili 50 peratus markah keseluruhan.

Program ini masih dikendalikan pasangan pengacara, Marsha dan Issey, yang semakin serasi pada musim kali ini.

Berita Harian X