Isnin, 13 Februari 2017 | 10:36am

Penerbangan ditunda, juruterbang sakit mental

PENERBANGAN dari Austin, di sini terpaksa ditunda selepas seorang juruterbang menunjukkan kelakuan mencurigakan sehingga penumpang menyangka dia mengalami masalah mental. - Foto Fox6 Now
PENERBANGAN dari Austin, di sini terpaksa ditunda selepas seorang juruterbang menunjukkan kelakuan mencurigakan sehingga penumpang menyangka dia mengalami masalah mental. - Foto Fox6 Now

TEXAS: Satu penerbangan dari Austin, di sini terpaksa ditunda selepas seorang juruterbang menunjukkan kelakuan mencurigakan sehingga penumpang menyangka dia mengalami masalah mental, kata jurucakap United Airlines semalam.

Juruterbang yang dirahsiakan identitinya itu masuk ke pesawat dengan pakaian biasa dan mula bercakap kepada penumpang melalui interkom, kata jurucakap Charlie Hobart.

Penumpang penerbangan menuju ke San Francisco itu Sabtu lalu berkongsi kebimbangan mereka di media sosial sebaik juruterbang berkenaan mula bercakap mengenai isu perceraiannya dan pilihan raya presiden.

Seorang penumpang, dikenali sebagai Randy Reiss di akaun Twitter menulis, "juruterbang itu memanggil Hillary Clinton dan Presiden Donald Trump sebagai "tak guna" dan pada satu ketika berkata dia akan "dijemput ke program Oprah."

Beberapa penumpang turut berkongsi di media sosial yang mereka bertindak keluar dari pesawat itu.

Susulan insiden itu, seorang juruterbang gantian dibawa masuk dan penerbangan itu berlepas kira-kira dua jam kemudian, kata Hobart.

Hobart berkata beliau belum menerima maklumat lanjut mengenai kejadian itu, termasuk persoalan mengapa juruterbang itu dibenarkan berada di dalam pesawat dengan pakaian biasa.

United akan membincangkan kejadian itu dengan juruterbang terbabit, katanya. - CNN

Berita Harian X