X
Sabtu, 11 Februari 2017 | 12:05am

Gegata menyeksakan

SEORANG jurujual kereta menceritakan perit hidupnya selama dua bulan kerana mendapat ruam gatal yang tiba-tiba muncul setiap malam menyerang seluruh tubuhnya.

Ruam itu hanya muncul pada waktu malam selepas selesai mandi atau apabila cuaca sejuk sehingga dia tidak boleh tidur kerana mengalami kegatalan.

Ia muncul dengan banyak pada satu masa dan surut sepenuhnya pada waktu pagi sebelum tengah hari.

Seorang suri rumah pula mengalami kemunculan ruam yang sama tetapi ruam itu muncul apabila cuaca panas dan apabila terkena sinar matahari terik.

Ruam dengan tiba-tiba naik ke mukanya dan kemudian bibir seterusnya menyebabkan kelopak mata bengkak dan perit sebelum hilang dengan sendiri selepas beberapa jam di tempat sejuk.

Dia cuba mengelakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan kerana pernah dikejarkan ke hospital selepas tekaknya tiba-tiba terasa sempit dan sesak nafas gara-gara kemungkinan termakan udang.

UJIAN kulit sensitif untuk menguji bahan alahan gegata.
UJIAN kulit sensitif untuk menguji bahan alahan gegata.

Pesakit alami tekanan

Sehingga kini, beliau perlu mengambil ubat antihistamin untuk mencegah kejadian sama daripada berulang.

Pakar Dermatologi Hospital Serdang dan Universiti Putra Malaysia, Dr Kartini Farah Rahim, berkata kedua-dua pesakit berkenaan mengalami penyakit kulit yang lazim dikenali sebagai urtikaria atau dalam bahasa tempatan adalah gegata.

Beliau berkata, gegata adalah penyakit yang boleh memberikan kesan yang teruk kerana sangat gatal, perit dan ruam membengkak. Ruam yang timbul pada kulit sehingga ada pesakit tertekan serta ingin menamatkan riwayatnya.

"Sesetengah pesakit mengalami tekanan susulan kos rawatan yang tinggi untuk membeli ubat makan antihistamin generasi tinggi dan suntikan Omalizumab," katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Bagaimanapun, majoriti pesakit urtikaria mengalami jenis ringan atau sederhana dengan bantuan ubat-ubatan," katanya.

Kadangkala kelopak mata dan bibir boleh membengkak dikenali sebagai 'angioedema' dan surut lebih perlahan dengan mengambil masa lebih kurang tiga hari.

Tekak, saluran pernafasan membengkak

Keadaan ini jarang menyebabkan tekak dan saluran pernafasan membengkak dan anafilaksis iaitu alahan yang teruk sehingga pesakit mesti dibawa ke hospital dengan segera.

Ruam yang timbul disebabkan sejenis sel dalam badan yang dipanggil 'mast cell' yang menjadi aktif apabila terkena bahan alahan yang mencetuskan keaktifannya.

Apabila ia aktif, sel ini akan terangsang dan merembeskan histamin serta pelbagai lagi bahan penghantaran sel seperti 'platelet activating factor' yang menyebabkan ruam tebal, gatal dan merah timbul pada kulit.

"Terdapat dua jenis gegata iaitu akut yang menyerang kurang daripada enam minggu dan akan hilang dengan sendiri dalam tempoh beberapa hari saja.

"Gegata kronik pula boleh berlaku dalam tempoh berpanjangan melebihi enam minggu disebabkan reaksi spontan tanpa pencetus atau disebabkan oleh alahan seperti cuaca dan pencetus lain seperti minyak wangi, makanan, ubat termasuk ubat tradisional," katanya.

KESAN ruam bengkak di badan akibat gegata menyebabkan kegatalan.
KESAN ruam bengkak di badan akibat gegata menyebabkan kegatalan.

Kaji sejarah keluarga

Bagi mengenal pasti gegata, beliau berkata, doktor akan mendapatkan sejarah pesakit dan menganalisa kulit atau ujian provokasi serta 'skin prick test'.

Sekiranya tiada pencetus atau gegata kronik spontan, doktor akan mengambil darah untuk melihat kemungkinan masalah berkaitan tiriod atau auto imun.

Pesakit juga digalakkan mengenal pasti pencetus gegata sebelum berjumpa doktor, contohnya urtikaria kolinergik iaitu ruam kecil yang timbul sebaik saja melakukan senaman dan berpeluh.

Walaupun punca gegata adalah pelbagai, rawatan asas adalah sama.

Pesakit dinasihatkan untuk bersabar dan teruskan mengambil ubat kerana 70 peratus gegata kronik akan pulih dengan sendirinya selepas tiga tahun dan selebihnya mungkin berterusan selama lima sehingga 10 tahun.

INFO: Apa itu urticaria?

  • Masalah kulit yang sangat lazim.
  • Turut dikenali sebagai kelopak garam.
  • Bahasa perubatannya yang lain adalah 'wheals' dan 'hives'.
  • Dianggarkan 10-20 peratus penduduk negara ini pernah menghadapi penyakit ini pada satu-satu masa.
  • Boleh terjadi kepada semua, tidak kira umur, jantina atau bangsa.

Ciri ruam ini:

  • Bengkak pada kulit dengan saiz yang berbeza.

CIRI LAIN:

  • Naik dalam beberapa minit sebaik saja terkena pencetusnya.
  • Ia pula surut dengan sendirinya (tanpa sebarang parut) selepas beberapa jam saja (tidak lebih dari 24 jam).

GEGATA juga boleh menyebabkan bibir bengkak.
GEGATA juga boleh menyebabkan bibir bengkak.

DUA JENIS GEGATA:

1. Gegata akut

- Biasanya didapati pada bayi-bayi dan kanak-kanak (dan juga dewasa)

- Berlaku semasa mereka sedang mendapat jangkitan virus ataupun alahan makanan seperti susu lembu, telur dan kacang tanah.

2.Gegata kronik.

- Melebihi enam minggu.

- Boleh berlaku secara spontan (tiada pencetus).

- Alahan cuaca panas, sejuk, tekanan pada kulit, makanan atau ubat (termasuk ubat tradisional).

RAWATAN:

  • Mengenal pasti pencetus dan mengelaknya.
  • Mengambil ubat makan antihistamin (bukan jenis mengantuk) seperti Loratadine, Cetirizine, Desloratadine, Levocetirizine dan Fexofenadine. (boleh bertahan lebih lama berbanding ubat jenis mengantuk).
  • Makan antihistamin jenis mengantuk seperti chlorpheniramine sekiranya gatal mengganggu tidur (mengantuk boleh berterusan selama 12 jam).
  • Dilarang mengendalikan mesin atau membawa kenderaan sekiranya makan ubat mengantuk.

Kanak-kanak berumur di bawah dua tahun yang mengalami gegata;

  • Berjumpa doktor kanak-kanak (paediatrik) sebelum mengambil ubat antihistamin.

Nota:

  • Sekiranya penggunaan antihistamin sehingga empat tablet sehari tidak berkesan:
  • Rawatan lain seperti ubat montelukast dan ubat suntikan omalizumab (kos sangat tinggi).
  • Ubat makan atau suntikan steroid untuk jangka masa pendek bagi kes yang teruk (bengkak bibir, kelopak mata, sesak nafas).

Berita Harian X