Jumaat, 10 Februari 2017 | 5:24pm

Kerajaan salur RM129 juta atasi masalah air

LUNDU: Datuk Seri Najib Razak berkata, masalah bekalan air dihadapi penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu dijangka selesai apabila projek penyediaan infrastruktur lebih moden bermula tahun depan.

Perdana Menteri berkata, peruntukkan RM129 juta sudah diluluskan dan juru runding kini merangka pelan projek berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menggunakan peruntukan itu untuk memasang paip retikulasi, loji air dan pam rangsangan di dua kawasan.

"Kita harap pembinaan kemudahan ini bermula tidak lama lagi," katanya yang disambut dengan tepukan dan sorakan orang ramai pada Majlis Perasmian Medan Selera Lundu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Douglas Uggah Embas; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.


NAJIB ketika berucap pada Majlis Perasmian Medan Selera Lundu sempena Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu. - Foto Luqman Hakim Zubir

Turut hadir tiga anak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem iaitu Azizul Annuar, Siti Rafidah dan Hayati Kamidah.

Dalam sidang media selepas itu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berharap tender projek itu dapat dibuka menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan.

"Semuanya bergantung kepada kerja menyiapkan reka bentuk projek itu.

"Beberapa bahagian projek itu terutamanya di Telok Melano (bawah kawasan Tanjong Datu) mungkin perlu menunggu selepas projek Lebuh Raya Pan Borneo jajaran Telok Melano-Sematan siap," katanya.

Berita Harian X