Jumaat, 10 Februari 2017 | 4:01pm

Untung Wesport naik, RM636.981j tahun lalu

KUALA LUMPUR: Untung sebelum cukai Westports Holdings Bhd meningkat kepada RM636.981 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 berbanding RM504.864 juta tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang melonjak kepada RM2.035 bilion berbanding RM1.682 bilion tahun sebelumnya.

Dalam makluman di Bursa Malaysia, pengendali pelabuhan itu berkata Westports mengendalikan 9.95 juta unit kontena bersamaan 20 kaki (TEU) pada 2016, atau 10 peratus lebih tinggi berbanding 9.05 juta TEU pada 2015.

Westports berkata, pendapatan operasi meningkat 14 peratus kepada RM1.8 bilion apabila operasi kontena dan konvensional menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan yang lebih baik.

Dalam tahun semasa, syarikat itu menyumbang 76 peratus daripada kontena yang dikendalikan di Pelabuhan Klang.

Dalam suku keempat tahun kewangan dikaji, syarikat itu mencatatkan untung bersih yang lebih tinggi, berjumlah RM154.998 juta berbanding RM132.545 juta suku sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan yang lebih kukuh berjumlah RM573.26 juta berbanding RM477.01 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Ruben Emir Gnanalingam, berkata penyusunan semula industri perkapalan kontena tahun ini akan menyumbang kepada pakatan yang lebih besar.

"Kami yakin kapasiti pengendalian terminal tambahan kami akan dapat memenuhi keperluan apabila kapal mereka singgah di Westports," katanya.

"Westports berkembang pesat sejak dua dekad lalu dengan menyokong keperluan penghantaran serantau pelanggan perkapalan kami dan mempermudahkan aktiviti ekonomi domestik," katanya.

Berita Harian X