Khamis, 9 Februari 2017 | 10:25am

Keunikan Thaipusam pikat pelancong

KUALA LUMPUR: Ribuan penganut Hindu berkumpul di Batu Caves pagi ini, menandakan kemeriahan perayaan Thaipusam yang disambut penuh warna warni di seluruh negara hari ini.

Dengan kehadiran seramai itu, sambutan Thaipusam bukan saja dianggap sekadar upacara keagamaan tetapi menjadi platform utama tarikan negara ini yang tercatat dalam kalendar pelancongan Malaysia.

Seawal jam 6 pagi, rakyat pelbagai kaum termasuk pelancong asing sudah mula membanjiri sekitar pekarangan Batu Caves di sini, yang menjadi lokasi tradisi sambutan itu bagi sama-sama menyaksikan keunikan ritual agama Hindu.

Perayaan tradisi tahunan itu bukan saja dizahirkan sebagai sebahagian keunikan budaya di Malaysia, lebih manis lagi ia bukti melambangkan sikap keterbukaan rakyat negara ini dalam menerima kepelbagaian budaya dan adat resam.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di sambutan Thaipusam di Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir di sambutan Thaipusam di Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SAMBUTAN Thaipusam di Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
SAMBUTAN Thaipusam di Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Di Batu Caves, kemeriahan sambutan itu turut dikongsi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengadakan lawatan mesranya ke sini.

Timbalan Perdana Menteri dijangka mengadakan kunjungan ke gerai dan beramah mesra dengan orang ramai, selain pertemuan dengan pihak pengurusan Kuil Dhevadthanam Sri Maha Mariamman, yang diketuai pengerusinya, Tan Sri R Nadarajah.

Turut hadir memeriahkan sambutan Thaipusam di sini, Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam serta bekas Menteri Kabinet, Tan Sri S Samy Vellu.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut penganut Hindu di seluruh dunia semasa bulan penuh Tamil yang dipanggil 'Thai' bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan iaitu anak lelaki bongsu Dewa Shiva dan Dewi Parvati.

Ia juga bagi memperingati peristiwa di mana Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya bagi menghapuskan kuasa jahat bernama Soorapadman serta mengembalikan kemakmuran dan kesejahteraan manusia.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kalung Bunga Malai daripada Pengerusi Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Tan Sri R Nadarajah ketika hadir di sambutan Thaipusam di Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Batu Caves, Kuala Lumpur. Turut hadir, Menteri Kesihatan yang juga Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan bekas Menteri Kabinet, Tan Sri S Samy Vellu. - Foto Khairull Azry Bidin

Berita Harian X