Rabu, 8 Februari 2017 | 4:55pm

9 anggota sindiket curi motosikal ditahan

SUPERINTENDAN Noor Hashim Mohamad (kiri) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Iskandar Puteri, Asisten Superintendan Polis, Reduan Khalid, menunjukkan sebahagian barang rampasan rangka motosikal dan menahan dua orang lelaki di Taman Nusantara, Gelang Patah, ketika sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

ISKANDAR PUTERI: Sindiket curi motosikal tumpas selepas lapan warga tempatan dan seorang remaja warga Indonesia ditahan Pasukan Khas Lejang Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata dalam serbuan awal pada jam 1.30 pagi pada 31 Januari lalu, anggota Pasukan Khas Lejang mengesan dua lelaki menaiki motosikal jenis Suzuki Belang R150 dalam keadaan mencurigakan di Taman Nusantara di sini.

Katanya, pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menjumpai satu fius elektronik dipercayai digunakan untuk menghidupkan enjin motosikal dan pemeriksaan ke atas motosikal dinaiki suspek mendapati nombor enjin motosikal berkenaan sudah dikacau ganggu, dipercayai motosikal curi.

"Susulan penahanan dua suspek itu, polis kemudian menahan tujuh lagi lelaki di sekitar Gelang Patah dan Taman Skudai Indah di sini, selain berjaya merampas pelbagai barang kes termasuk motosikal, alat ganti dan aksesori motosikal.

"Semua suspek berusia antara 15 hingga 47 tahun dan hasil pemeriksaan awal mendapati lapan daripada suspek positif dadah jenis meth, manakala lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Noor Hashim berkata, semua suspek mengaku terbabit dalam empat kes curi motosikal sebanyak sekitar daerah Iskandar Puteri dan Johor Bahru Utara, bagaimanapun pihaknya percaya lebih banyak kes dapat diselesaikan dengan tertangkapnya suspek.

Foto Mohd Azren Jamaluddin

Berita Harian X