Rabu, 8 Februari 2017 | 12:30am

Jovenel Moise angkat sumpah Presiden Haiti


Jovenel Moise

PORT-AU-PRINCE: Jovenel Moise hari ini, mengangkat sumpah sebagai Presiden Haiti untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau memenangi pilihan raya presiden yang berlangsung selama dua tahun, sekali gus mewarisi negara yang kini dilanda kemelesetan ekonomi.

Usahawan berusia 48 tahun itu mengangkat sumpah jawatan di Dewan Parlimen.

Yang turut hadir, penggubal undang-undang Haiti dan orang kenamaan asing, termasuk dari Amerika Syarikat (AS), Venezuela dan Perancis.

Moise melemparkan senyuman ketika pemimpin Senat menyarung selempang presiden berwarna merah dan biru di bahu kirinya.

Sambil memegang sebuah kitab Injil, beliau melafazkan ikrar untuk melindungi Perlembagaan dan bekerja keras membaik pulih kehidupan rakyat.

Moise dijadualkan menggariskan tumpuan utama kerajaan pimpinannya dalam ucapan yang bakal disiarkan, lewat hari ini.

Moise berjanji untuk memberi tumpuan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar yang sekian lama diabaikan. - AP

Berita Harian X