Selasa, 7 Februari 2017 | 5:14pm

Jang tekad bantu skuad bola sepak pantai

PEMAIN dari Terengganu, Mohd Khairul Nizam Mohamad.

KUALA TERENGGANU: Pemain dari Terengganu, Mohd Khairul Nizam Mohamad bertekad membantu skuad negara dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Pantai Batu Buruk di sini, pada 4 hingga 11 Mac ini.

Begitupun, pemain berusia 35 tahun itu berkata dia akan berusaha keras untuk menambat hati pengendali pasukan, Ismail Zakaria dalam latihan pusat pertama di Shah Alam, bermula esok.

"Biarpun sebelum ini saya pernah menyarung jersi negara dua kali pada 2008 dan 2014, tapi perasaan kali ini semakin membara kerana bermain di bumi Terengganu yang dipilih sebagai tuan rumah.

"Saya juga sudah mempersiapkan diri dengan menjalani latihan sendiri untuk memastikan tahap kecergasan berada di tahap terbaik," katanya yang ditemui di sini.

Pemain yang mesra dengan panggilan Jang berkata, dia akan manfaatkan pengalaman beraksi di Kejohanan Bola Sepak Pantai Asian Bali, Indonesia pada 2008 dan AFF-FELDA Beach Soccer Championship di Pahang pada 2014.

Pemain kelahiran Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus itu berkata bermain di bumi sendiri memberi peluang keemasan untuk skuad negara mencipta sejarah layak ke Piala Dunia.

"Saya harap pasukan negara menjadi tiga pasukan terbaik untuk mewakili Asia ke Piala Dunia Bola Sepak Pantai di Bahamas pada April nanti," katanya.

Malaysia diundi dalam kumpulan A bersama Iran, Bahrain, China, dan Afghanistan.

Kumpulan B diketuai Oman, Lebanon, Uzbekistan dan Thailand manakala Kumpulan C ialah Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Iraq dan Qatar.

Berita Harian X