Selasa, 7 Februari 2017 | 4:47pm

Ternakan terjejas kerana tolak SOP

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama pelajar di Program Chillax Agropreneur Muda TN50 di Kolej Pertanian, Bukit Kayu Hitam. - Foto Sharul Hafiz Zam

BUKIT KAYU HITAM: Dakwaan kerajaan tidak memberi bantuan kepada penternak yang terjejas akibat banjir adalah tuduhan melulu, sedangkan langkah keselamatan awal bagi mengelak kejadian seumpama itu, sudah dilaksanakan dahulu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kerajaan melalui Jabatan Veterinar setiap negeri yang terbabit banjir sudah mengarahkan penternak mengikut dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun katanya, tidak semua penternak mahu mematuhi SOP kerajaan dan akhirnya menyebabkan ternakan mereka terjejas.

"Kementerian memaklumkan awal kepada penternak di kawasan yang berpotensi dinaiki air supaya berpindah selain menyediakan menambah makanan tetapi ada penternak enggan mematuhi kononnya mereka tak akan terjejas atau dinaiki air.

"Akhirnya apabila banjir berlaku hingga menjejaskan ternakan mereka, ada pihak pula mengambil kesempatan dengan menyalahkan kerajaan dan berniat untuk menjatuhkan kerajaan yang sebenarnya sentiasa menjaga kebajikan rakyat.

"Mereka sebarkan tuduhan melulu di laman sosial mengenai ada haiwan yang terperangkap serta tidak mempunyai makanan," katanya selepas melawat Premis Kuarantin Swasta AMD Agrofarm Sdn Bhd di Kampung Padung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas terdapat pihak memanipulasi kejadian banjir di Pekan, Pahang selepas berpuluh ekor lembu terkepung dan menjadi lemah akibat ketiadaan makanan manakala sebahagian lagi hilang dibawa arus.

Berita Harian X