Ahad, 21 Disember 2014 | 2:53pm
SALAH sebuah daripada 7 kontena yang berisi barangan keperluan asas seperti bantal, tilam, makan dan minuman mula bergerak untuk diagihkan kepada mangsa di seluruh jajahan negeri Kelantan yang terlibat dengan bencana banjir yang disumbangkan oleh UMNO Malaysia melaui Biro Kebajikan UMNO Malaysia. - Foto Zaman Huri Isa
SALAH sebuah daripada 7 kontena yang berisi barangan keperluan asas seperti bantal, tilam, makan dan minuman mula bergerak untuk diagihkan kepada mangsa di seluruh jajahan negeri Kelantan yang terlibat dengan bencana banjir yang disumbangkan oleh UMNO Malaysia melaui Biro Kebajikan UMNO Malaysia. - Foto Zaman Huri Isa

Biro Kebajikan UMNO agih bantuan banjir di Kelantan

KOTA BHARU: Biro Kebajikan UMNO Malaysia hari ini mengagihkan bantuan peralatan yang dapat dimanfaatkan oleh 15,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan tersebut akan diagihkan kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan seperti di Tanah Merah, Pasir Mas dan Tumpat.

"Saya diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengagihkan segera bantuan kepada mangsa yang terjejas di kawasan dinaiki air di negeri ini.

"Difahamkan kawasan yang paling teruk terjejas banjir adalah Rantau Panjang dan Tumpat dan tumpuan lebih akan diberikan di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan Biro Kebajikan UMNO Malaysia di sini.

Tanpa menyebut jumlah keseluruhan bantuan yang akan diagihkan, beliau berkata tujuh buah kontena yang berisi barangan keperluan seperti beras, tilam, selipar, selimut dan lain-lain akan disalurkan di pusat-pusat pemindahan yang telah dikenal pasti.

Abdul Azeez berkata, fasa pertama bantuan ini memfokuskan bantuan di pusat-pusat pemindahan terlebih dahulu bagi memberi keselesaan kepada masyarakat.

"Fasa pertama bantuan adalah di kawasan pusat pemindahan, saya akan bincang dengan Badan Perhubungan UMNO negeri berhubung bentuk bantuan susulan yang akan kita beri nanti.

"Kita ingin selesaikan di pusat pemindahan untuk beri keselesaan kepada orang ramai terutama kanak-kanak," katanya.

Jumlah mangsa banjir di lapan jajahan di Kelantan meningkat kepada 21,328 orang pagi ini berbanding 19,186 orang malam tadi.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mangsa banjir daripada 6,933 keluarga itu ditempatkan di 84 pusat pemindahan dengan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah terbesar mangsa iaitu 12,008 orang yang ditempatkan di 35 pusat pemindahan berbanding 11,079 orang malam tadi. - BERNAMA

Berita Harian X