Jumaat, 3 Februari 2017 | 2:31pm

TMJ akan berangkat ke sambutan Thaipusam di Masai

PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin
PENAUNG Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU:  Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berangkat ke majlis sambutan Thaipusam mewakili Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Kuil Sri Subramaniar Paripalana Saba Masai, dekat sini Khamis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, R Vidyananthan, berkata sebagai mewakili masyarakat India di Johor, beliau amat bersyukur dengan keberangkatan Tunku Ismail ke sambutan berkenaan.

"Tunku Ismail dijadualkan berangkat pada jam 12.30 tengah hari dan ini adalah tahun kedua berturut-turut Kerabat Diraja Johor menghadiri sambutan Thaipusam di Johor. 

"Johor sebuah negeri bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang cukup prihatin dan mengasihi rakyatnya, Baginda sekeluarga sentiasa menunjukkan sifat prihatin terhadap masyarakat India di seluruh Johor," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada Januari tahun lalu, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari bersama masyarakat setempat sempena sambutan Thaipusam di Kuil Sri Murugan di Renggam, Kluang dekat sini yang turut dihadiri kira-kira 15,000 orang.

Vidyananthan berkata, beliau juga ingin mengajak seluruh masyarakat India di Johor supaya datang beramai-ramai bagi memeriahkan lagi sambutan Thaipusam di kuil berkenaan. 

Berita Harian X