Selasa, 31 Januari 2017 | 1:38pm

Spurs tak ambil mudah ancaman Sunderland

PENGURUS Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino. - Foto AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspurs, Mauricio Pochettino memberi amaran kepada anak buahnya agar tidak memandang rendah keupayaan Sunderland meskipun lawannya itu kini menduduki tangga tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu liga, Chelsea dan masih belum tewas dalam tujuh aksi liga setakat ini.

Ketika mereka dijangka bakal mengutip mata penuh di Stadium of Light, Chelsea pula bakal berdepan ujian sukar bertemu Liverpool di Anfield.

"Setiap perlawanan adalah penting buat kami dan kami berada di posisi yang mana tiga mata adalah sangat berharga," kata Pochettino.

"Aksi yang sukar kerana Sunderland juga pastinya mahu mengutip mata dan aksi EPL tidak pernah menjadi mudah namun objektif kami adalah mengutip tiga mata dan merapatkan kedudukan dengan pendahulu.

"Tiga mata sangat berharga buat dua-dua pasukan ini jadi kami perlu berwaspada dengan tekanan untuk menang memandangkan kami bersaing untuk sesuatu yang besar musim ini."

Penyerang England, Harry Kane yang diketepikan pada aksi Piala FA bertemu Wycombe Wanderers akibat kecederaan disahkan sudah cergas sepenuhnya dan mampu untuk diturunkan.

Pemain pertahanan, Toby Alderweireld dan Danny Rose yang turut terlepas aksi Piala FA itu juga dijangka akan kembali membarisi kesebelasan utama. - AFP

Berita Harian X