Selasa, 31 Januari 2017 | 10:52am
ANGGOTA polis menyiasat lokasi kejadian kes tembakan rambang di masjid Quebec City. - Foto AFP

Bissonnette penyokong tegar parti haluan kanan Le Pen

ALEXANDRE Bissonnette diiringi polis memasuki van selepas hadir di mahkamah di Quebec City. - Foto AP

QUEBEC CITY: Lelaki Perancis-Kanada yang berhaluan kanan, semalam didakwa dengan enam tuduhan membunuh dan lima tuduhan cubaan membunuh berhubung kes tembakan rambang di masjid Quebec City, Ahad lalu.

Serangan itu disifatkan Perdana Menteri, Justin Tredeau, sebagai keganasan terhadap umat Islam.

Alexandre Bissonnette hadir di mahkamah tetapi tidak membuat sebarang pengakuan dalam serangan itu yang mengorbankan enam jemaah.

Memakai pakaian seragam banduan berwarna putih, kaki dan tangannya dirantai, Bissonnette merenung lantai dan kelihatan gementar, tetapi tidak bercakap.

Suspek berusia 27 tahun itu, yang menyokong parti berhaluan kanan Perancis, Marine Le Pen dan menyukai laman Facebook Presiden Donald Trump, dikenali pihak yang memantau kumpulan pelampau di Quebec, kata pegawai kumpulan penyokong pelarian, Francois Deschamps.

"Dengan penuh kemarahan, kami mengenal pasti pengganas Alexandre Bissonnette, yang dikenali ramai aktivis di Quebec kerana pro-Le Pen dan antifeminis di Universiti Laval dan di media sosial," kata Deschamps di laman Facebook kumpulan itu, Bienvenues aux Refugiés, or Selamat Datang Pelarian.

Pelajar jurusan antropologi dan membuat pengkhususan dalam sains politik di Universiti Laval di Quebec City, Bissonnette juga menyuarakan sokongan di profil Facebooknya kepada Génération Nationale, kumpulan yang manifestonya termasuk menolak 'kepelbagaian budaya.' - AP

Berita Harian X