Isnin, 30 Januari 2017 | 10:09pm

Harimau-singa kacukan kedua lahir di Zoo Russia


HARIMAU-SINGA kacukan diberi nama Tsar. - Foto AFP

ROSTOV-ON-DON: Spesies hibrid kacukan harimau dan singa, selamat dilahirkan di sebuah zoo di Russia dua bulan lalu.

Bayi haiwan dari spesies yang jarang ditemui itu diberi nama Tsar, kini berusia dua bulan.

Pengarah Zoo Russia, Erik Airapetyan, berkata Tsar adalah anak kepada pasangan harimau betina, Princess dan singa jantan, Caesar.

"Princess dan Caesar sudah lama tinggal bersama. Apabila tiba musim mengawan, Princess tidak mempunyai pilihan selain menjadikan Caesar pasangannya," katanya.

Tsar, berwarna coklat kekuningan seperti warna seekor singa tetapi mempunyai belang seperti harimau kini diberi minum susu kambing di zoo itu.

Spesies hibrid itu boleh membesar sehingga 400 kilogram, menjadikannya haiwan terbesar dalam keluarga kucing.

Sebelum ini, hibrid sama lahir di Amerika Syarikat dan diberi nama Hercules. Ia dicatat dalam Guinness World Records sebagai spesies kacukan singa dan harimau terbesar dunia, seberat 418 kilogram serta panjang 3.33 meter. - AFP

Berita Harian X