Ahad, 29 Januari 2017 | 3:59pm

Khai, Rosma tak putus asa

KHAI dan Rosma turut menjadi vendor Section 1 di Majlis Pelancaran Section 1 yang diadakan di White Box, Publika. - Foto Zunnur Al Shafiq
KHAI dan Rosma turut menjadi vendor Section 1 di Majlis Pelancaran Section 1 yang diadakan di White Box, Publika. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Biarpun dua single duet yang diterbitkan sebelum ini gagal menawan hati peminat, pasangan penyanyi suami isteri, Khai dan Rosma tidak pernah berputus asa.

Bersandarkan populariti diraih selepas muncul dalam musim pertama Akademi Fantasia (AF) lebih 13 tahun lalu, Khai dan Rosma merancang strategi baharu untuk kembali mewarnai dunia seni.

Selain berhasrat melancarkan single duet yang baharu, Khai memberitahu, isterinya akan tampil dengan single solo terlebih dulu.

"Kami sedang mencari masa yang sesuai untuk merakamkan single terbabit. Sekarang kalau kita mahu cipta lagu, kita perlukan bahan yang bagus.

"Jadi kami mencari kelainan agar single yang dirakam dimainkan di radio," katanya kepada BH Online.

Khai berkata, selain mutu, faktor pengedaran juga penting supaya produk yang dihasilkan dapat dipasarkan.

"Insya-Allah, jika kami berjaya menghasilkan single solo, kami akan berusaha mencari syarikat pengedaran untuk mempromosikan lagu baharu kelak," katanya.

Sementara itu, Rosma memberitahu, kali terakhir dia merakamkan album penuh adalah pada tahun 2007. Bagi projek baharu, katanya, dia mahu mengekalkan konsep balada yang menjadi kekuatannya.

Akui Rosma, biarpun dia dan suami sibuk dengan perniagaan produk pelangsing badan, Magic Slim dan minyak wangi, Aroma KR, mereka tidak pernah mengetepikan karier nyanyian.

"Kami sebenarnya masih aktif menyanyi dan mendapat jemputan. Cuma undangan untuk muncul dalam program hiburan di stesen televisyen (TV) saja tiada," katanya.

Khai atau nama sebenarnya, Mohd Khairul Nizam Mohammad Wahi, 38, berkahwin dengan Rosma atau nama sebenarnya, Rosmayati Sidek, 32, pada 28 April 2008.

Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Amzar Danish dan Nur Amani Damia.

Berita Harian X