Jumaat, 27 Januari 2017 | 6:29pm

Abdul Jalil CEO baharu NSTP


Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), berkuat kuasa 1 Mac ini.

Beliau menggantikan Datuk Mohammad Azlan Abdullah, yang tamat perkhidmatannya pada 28 Februari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarang Kumpulan New Straits Times, Yushaimi Maulud Yahaya, dilantik Pengarang Kumpulan akhbar itu, bermula tempoh sama.


Yushaimi Maulud Yahaya.

Media Prima Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohammad Azlan mengambil keputusan untuk menerima jawatan baharu sebagai CEO Kumpulan di sebuah syarikat pembangunan infrastruktur milik syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Ketika mengumumkan keputusannya, Mohammad Azlan berkata, beliau berpuas hati kerana diberi kepercayaan untuk memimpin dua perniagaan utama Media Prima.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah, rakan pengurusan kanan dan kakitangan kumpulan, yang memberikan sokongan penuh sepanjang tempoh sembilan tahun beliau berkhidmat.

Mengulas pelantikan Abdul Jalil sebagai CEO baharu NSTP, Mohammad Azlan berkata, Abdul Jalil adalah individu yang dihormati dalam industri media dan ciri kepemimpinan yang ada padanya menjadikan beliau pilihan terbaik untuk meneruskan momentum usaha pembangunan digital NSTP.

"Beliau mempunyai kefahaman yang tinggi dalam hal berkaitan pengurusan jenama, editorial, komersial dan operasi NSTP.

"Saya yakin beliau akan memberi sumbangan besar dalam meningkatkan kecekapan operasi dan membawa NSTP ke tahap baharu,"katanya.

Abdul Jalil akan bertanggungjawab terhadap operasi keseluruhan NSTP dan akan memberi fokus dalam pengukuhan perniagaan utama serta penjanaan peluang baharu untuk meningkatkan prestasi syarikat selaras dengan perancangan panjang kumpulan.

Beliau mempunyai pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam bidang kewartawanan dan komunikasi strategik, dengan pernah memegang pelbagai jawatan utama di Pejabat Perdana Menteri, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Reuters dan Bernama.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar, berkata pelantikan baharu itu akan mengukuhkan lagi kedudukan akhbar cetak dan digital NSTP, sekali gus mengekalkan kedudukan syarikat sebagai sumber berita dan maklumat pilihan, walaupun berhadapan persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.

Katanya, ia juga mencerminkan pelan penggantian kukuh yang telah dilaksanakan di peringkat NSTP dan Media Prima bagi memastikan kesinambungan serta penyerahan tanggungjawab dan operasi secara lancar.

"Kita akan meneruskan usaha agresif untuk mengembangkan inisiatif digital kami dan menjana sumber pendapatan baharu, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Media Prima merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohammad Azlan atas dedikasi dan sumbangan beliau kepada Kumpulan.

"Mohammad Azlan telah memainkan peranan penting dalam meletakkan asas bagi pembangunan syarikat Big Tree Outdoor serta melaksanakan inisiatif transformasi utama untuk meningkatkan kecekapan, pengurusan kos dan integrasi NSTP ke dalam Kumpulan Media Prima.

"Beliau juga telah mengetuai pelbagai inisiatif digital di NSTP, selaras dengan permintaan yang meningkat untuk kandungan atas talian.

"Hasilnya adalah peningkatan trafik di laman web berita, media sosial, penerbitan digital dan platform kandungan berasaskan internet lain

seperti versi digital BH, Harian Metro dan New Straits Times.

"Media Prima sentiasa mendoakan yang terbaik untuk beliau," katanya.

Berita Harian X