Khamis, 26 Januari 2017 | 6:45am

Brazil usaha hentikan penularan demam kuning

PIHAK berkuasa kesihatan awam Brazil menggesa penduduk mendapatkan vaksin bagi menangani penularan wabak demam kuning. - Foto Yahoo

BRASILIA: Pihak berkuasa kesihatan awam Brazil menggesa penduduk daripada sembilan dari 26 negeri di negara itu mendapatkan vaksin bagi menangani penularan wabak demam kuning.

Gesaan itu dibuat berikutan wabak demam kuning setakat ini sudah meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa dan bagi mengelak ia daripada menjadi epidemik.

Pada Selasa lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan 70 kes demam kuning dengan 40 kematian di kawasan luar bandar Minas Gerais.

Sementara itu, sebanyak 47 kes kematian dan 368 kes disyaki demam kuning masih lagi disiasat.

Jumlah itu adalah tinggi berbanding hanya tujuh kes dicatatkan tahun lalu dan ia adalah tertinggi sejak 2003.

Demam kuning adalah penyakit bawaan virus yang sering ditemui di rantau tropika Afrika dan Amerika.

Ia sering menyerang manusia dan monyet serta disebarkan oleh nyamuk seperti penyakit denggi dan Zika.

Wabak demam denggi itu muncul ketika Brazil masih berperang menangani Zika, berikutan peningkatan kes bayi yang lahir berkepala kecil atau mikrosefali.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, kebanyakan pesakit pulih selepas fasa pertama jangkitan biasanya membabitkan demam, sakit otot, belakang dan kepala, menggigil, hilang selera makan serta loya atau muntah.

Pihak berkuasa kesihatan sudah mengagihkan 4.9 juta vaksin demam kuning sejak awal tahun ini. - REUTERS

Berita Harian X