Rabu, 25 Januari 2017 | 9:50am

PSG mara ke final Piala Liga Perancis

DI Maria meraikan jaringan ketika aksi bertemu Bordeaux, di Stade Matmut Atlantique, Perancis. - Foto AFP

PARIS: Edinson Cavani dan Angel Di Maria mengetuai penyandang gelaran, Paris Saint-Germain (PSG) ke final Piala Liga Perancis buat kali keempat berturut-turut, dengan masing-masing menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 di Bordeaux, awal pagi tadi.

Jaringan hebat pemain Argentina, Di Maria memberikan juara enam kali itu kelebihan awal namun Diego Rolan menyamakan kedudukan selepas setengah jam perlawanan.

Cavani kembali meletakkan pelawat di depan dengan penyudah baik pada minit ke-60 sebelum menambah jaringan keduanya, manakala Di Maria kembali meledak dari jarak jauh untuk meletakkan PSG dalam kedudukan selesa.

PSG akan berentap di final 1 April ini menentang pemenang separuh akhir antara Monaco dan Nancy dan setakat ini, kelab itu sudah mendominasi kejohanan berkenaan sejak kebelakangan ini dengan memenangi semua tiga edisi lalu.

Pengendali pasukan, Unai Emery tidak menghiraukan langsung sebarang usaha untuk merehatkan pemainnya menjelang pertemuan penting Ahad ini menentang pendahulu Ligue 1, Monaco dengan menurunkan skuad terkuat.

"Kami mahu bermain untuk semua gelaran dan menang sebanyak mungkin," kata Emery. "Pasukan ini layak menempatkan diri di final.

"(Berdepan Monaco) ia akan menjadi perlawanan penting untuk liga. Kami mahu menang kerana hari ini mereka adalah pasukan teratas." - AFP

Berita Harian X