Selasa, 24 Januari 2017 | 12:12pm

JPJ diarah ambil tindakan terhadap Dego Ride

TIMBALAN Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi. - Foto Asyraf Hamzah
TIMBALAN Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi. - Foto Asyraf Hamzah

SERI KEMBANGAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali perkhidmatan 'teksi motosikal', Dego Ride kerana operasi dijalankan tidak sah mengikut undang-undang.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan perkhidmatan mengambil upah daripada penumpang menggunakan motosikal.

"Kerajaan tidak benarkan penggunaan motosikal sebagai teksi kerana ia tidak memiliki ciri keselamatan dan kita tak mahu masyarakat terdedah pada bahaya.

"Tidak ada perkara seperti mengambil upah guna motosikal... ambil upah penumpang kena dapatkan pengesahan JPJ, jika tak ada maka tidak sah.

"Saya akan arahkan JPJ ambil tindakan kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana salah guna lesen kenderaan motor (LKM) yang dikhaskan untuk kegunaan peribadi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Ab Aziz diminta mengulas sama ada perkhidmatan Dego Ride yang menggunakan aplikasi seperti Uber dan GrabCar akan turut dibawa ke Parlimen, Mac depan.

Perkhidmatan Dego Ride sudah beroperasi hampir tiga bulan sejak November lalu dengan menawarkan khidmat pengangkutan untuk jarak tiga kilometer (km) ke bawah dengan tambang RM2.50 bagi satu perjalanan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X