Isnin, 23 Januari 2017 | 1:00pm

Dolar AS susut, saham Asia bertahan

TOKYO: Dolar Amerika Syarikat (AS) menyusut dan saham Asia bertahan hari ini susulan kebimbangan mengenai dasar perlindungan Presiden Donald Trump, mengatasi keyakinan bahawa dia akan mengotakan janji pemotongan cukai dan rangsangan ekonomi lain.

Indeks Nikkei Jepun menurun 1.3 peratus manakala saham di Korea Selatan dan Australia jatuh 0.3 peratus, walaupun indeks MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun tidak berubah.

Pasaran saham niaga hadapan AS susut 0.2 peratus, menghapuskan keuntungan yang diraih Jumaat minggu lalu.

Dalam ucapan sulungnya hujung minggu lalu, Trump berjanji untuk menamatkan apa yang dipanggil "pembunuhan beramai-ramai Amerika" menerusi kilang yang tidak beroperasi dan berikrar untuk memberikan keutamaan kepada rakyat negara itu.

Semalam, Trump merancang mengadakan perbincangan dengan pemimpin Kanada dan Mexico untuk memulakan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).

Sebelum itu, pentadbiran Trump berkata pada hari pertama beliau bertugas bermakna strategi perdagangan untuk melindungi pekerjaan AS akan bermula, dengan penarikan daripada perjanjian perdagangan 12 negara Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Dolar AS meningkat pada akhir tahun lalu ekoran jangkaan bahawa janji Trump untuk mengurangkan cukai dan meningkatkan perbelanjaan infrastruktur dapat memacu ekonomi negara itu, namun ia kini seakan-akan hilang momentum.

Dalam sesi dagangan awal hari ini, dolar jatuh 0.7 peratus berbanding yen kepada ¥ 113,86, menyusut ke paras terendah tujuh minggu sebanyak ¥112,57 pada Rabu minggu lalu. Euro meningkat 0.1 peratus kepada $ 1,0721, paras tertinggi sejak 8 Disember lalu.

Hasil 10 tahun Perbendaharaan AS jatuh kepada 2,445 peratus, selepas meningkat seketika Jumaat minggu lalu kepada untuk 2,513 peratus, tertinggi sejak 3 Januari 2017.

Peso Mexico bagaimanapun meningkat 0.3 peratus hari ini pada 21,520 setiap dolar, selepas meningkat 1.7 peratus pada Jumaat, keuntungan paling besar dalam tempoh dua bulan.

Harga minyak meningkat selepas menteri OPEC dan negara bukan OPEC menyatakan mereka membuat permulaan kukuh untuk mengurangkan pengeluaran di bawah perjanjian yang pertama seumpamanya dalam tempoh lebih daripada satu dekad.

Niaga hadapan minyak mentah Brent penanda aras meningkat 0.1 peratus kepada $55,74 setong, meningkat 2,5 peratus berbanding Jumaat lalu. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X