Isnin, 23 Januari 2017 | 9:45am

Syarikat Jepun bimbang dasar perdagangan Trump


PEMANGKU Peguam Negara, Sally Yates. - Foto Reuters

TOKYO: Syarikat Jepun percaya kedua-dua Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mahupun Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe tidak mahu menyaksikan yen lemah dengan ketara.

Kaji Selidik Korporat Reuters yang dijalankan 4-17 Januari itu juga mendapati, syarikat Jepun mahu Abe mendesak Trump berhubung isu berkaitan perdagangan, manakala satu pertiga menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan nasional menjadi isu utama.

Kaji selidik terkini itu menggariskan sikap berhati-hati berhubung bagaimana dasar AS akan berkembang di bawah Trump, yang berjanji akan mengamalkan agenda melindungi syarikat tempatan.

Trump merungut pengukuhan dolar memberi kesan negatif kepada hubungan perdagangan dengan China.

Beliau juga bertekad membuat perubahan ketara berhubung dasar perdagangan AS dan melindungi pekerjaan di AS, mengugut mengenakan levi ke atas import dari China dan akan membuat rundingan semula berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara dengan Mexico dan Kanada.

Kaji selidik bulanan membabitkan 531 syarikat besar dan sederhana itu mendapati 73 peratus daripada mereka berkata, Trump dijangka tidak akan bertolak ansur jika dolar mengukuh melepasi paras 120 yen dan 90 peratus berpandangan 125 yen sebagai garis berbahaya.

Kaji selidik dijalankan Reuters dengan bantuan Nikkei Research.

Sekitar 240 pengurus menjawab soalan berhubung Trump.

Dolar AS menokok akhir tahun lalu disebabkan jangkaan cadangan rangsangan fiskal dicadangkan Trump akan melonjakkan pertumbuhan dan inflasi, selain menjurus kepada kenaikan kadar faedah dengan lebih pantas lagi.

Bagaimanapun, dolar AS jatuh ke paras terendah enam bulan berbanding mata wang utama, minggu lalu selepas Trump merungut berhubung kekukuhan dolar.

Beliau mengkritik Jepun, China dan Mexico menyebabkan lebihan dagangan dengan AS.

Yen yang lebih lemah membantu pengeksport Jepun kerana ia melonjakkan pendapatan negara. - REUTERS

Berita Harian X