Isnin, 23 Januari 2017 | 8:32am

Syarikat Jepun ingkar gesaan PM Abe

PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto EPA
PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe. - Foto EPA

TOKYO: Hampir dua pertiga syarikat Jepun tidak bercadang menaikkan gaji pekerja mereka tahun ini, demikian menurut kaji selidik Reuters.

Ia satu pukulan kepada kempen Perdana Menteri Shinzo Abe, yang menyarankan supaya majikan membayar gaji lebih tinggi bertujuan mendorong pemulihan dan satu daripada cara menamatkan deflasi yang dialami negara itu selama dua dekad.

Kaji Selidik Korporat Reuters yang dijalankan pada 4-17 Januari juga mendapati, kebanyakan kenaikan gaji sejak empat tahun lalu sejak Abe memegang pucuk pemerintahan adalah minimum dan hampir satu perempat syarikat langsung tidak berbuat demikian.

Syarikat Jepun secara umumnya menolak gesaan Abe.

Banyak syarikat terkesan daripada kenaikan mata wang tahun lalu dan tidak bersedia memberikan komitmen untuk menaikkan gaji pekerja, tambahan lagi dalam keadaan yang tidak menentu berhubung dasar yang bakal diambil Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Syarikat memilih untuk memberi ganjaran kakitangan dengan pembayaran bonus hanya selepas syarikat meraih keuntungan dan bukan lagi menjanjikan kenaikan asas. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X