Ahad, 22 Januari 2017 | 2:17am

MPV kompak selesa, bertenaga dan menjimatkan

MPV kompak selesa, bertenaga dan menjimatkan. - Foto Sairien Nafis

MODEL Ertiga, yang dilancarkan oleh PROTON pada hujung November lalu adalah satu lagi segmen yang cuba untuk ditembusi oleh pengeluar kereta nasional itu.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) kompak yang mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) itu adalah model keempat yang dilancarkan oleh PROTON tahun lalu, selepas Perdana, Persona dan Saga.

Ia adalah kenderaan pertama yang dikeluarkan menerusi usaha sama yang dijalin oleh PROTON bersama Suzuki.

Pengamal media tempatan, pada minggu lalu diberikan kesempatan untuk menguji kenderaan yang dikuasai oleh enjin 1.4 liter itu, dari Pusat Kecemerlangan PROTON di Subang hingga ke Kuala Selangor dan Sekinchan di bahagian utara Lembah Klang.

Penulis dan seorang rakan dari agensi media lain diberikan peluang oleh PROTON untuk merasai prestasi daripada varian paling tinggi untuk Ertiga, Executive Plus.

Impak pertama yang dirasai apabila mendapat peluang memandu uji PROTON Ertiga adalah tidak dapat lari untuk membandingkannya dengan 'abang' kepada model ini iaitu PROTON Exora atau pesaingnya daripada jenama lain.

Begitupun, sebenarnya adalah tidak adil untuk membuat perbandingan secara langsung, apatah lagi bersama PROTON Exora yang memiliki badan lebih luas dan mempunyai kumpulan sasaran yang berbeza.

MPV sesuai kegunaan keluarga semua jenis permukaan jalan.

Jadi, apakah kesesuaian kumpulan sasaran PROTON Ertiga? Penulis berpendapat, ia sesuai untuk keluarga yang tidak terlalu besar tetapi berhasrat mendapatkan kenderaan MPV untuk perjalanan lebih selesa dan berlainan daripada kenderaan sedan biasa.

Dari segi platform, Ertiga menggunakan enjin sama seperti Suzuki Swift generasi ketiga, iaitu unit petrol K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT, dan gabungan kotak gear automatik empat kelajuan.

Dengan kuasa sebanyak 92 PS dan tork 130 Nm, Ertiga tidak mempunyai masalah kuasa kerana penulis merasai kelancaran pemanduan sepanjang perjalanan yang agak mencabar laluannya, khususnya dari Kuala Selangor ke Sekinchan.

Dari segi kabin, PROTON Ertiga agak 'kosong' dengan ketiadaan panel sesentuh dan unit infotainment komprehensif seperti yang terdapat pada varian tertinggi PROTON Persona.

Begitupun, kemasan dalamannya boleh dipuji kerana pilihan warna pada papan pemuka dan badan dalaman amat bersesuaian dengan sebuah kereta berkonsepkan keluarga.

RUANG letak bagasi PROTON Ertiga yang luas.

ANTARA ciri-ciri dalaman pada PROTON Ertiga.

Beralih ke bahagian penumpang belakang, PROTON Ertiga sebenarnya boleh memuatkan tambahan lima lagi penumpang jika berdasarkan kepada ruang dan saiz tempat duduknya.

Namun demikian, PROTON memasarkan kenderaan ini sebagai MPV kompak enam tempat duduk disebabkan tiada tali pinggang keledar di bahagian tengah.

Bagi mewujudkan fungsi fleksibel, bahagian tempat duduk penumpang belakang boleh dilaras, sama ada dilunjurkan ke depan atau belakang, disandar atau ditegakkan untuk pelbagai kegunaan dan saiz.

Ciri terbaik ditampilkan di bahagian ruang belakang adalah kehadiran corong pendingin hawa di bahagian panel bagi memberikan keselesaan maksimum kepada penumpang belakang.

Berdasarkan pakej harga yang ditawarkan oleh PROTON kepada pembeli Ertiga iaitu bermula daripada RM58,800 (Manual) dan Executive Plus, jelas model baharu kali ini ditampilkan dengan harapan supaya ada pilihan diberikan kepada segmen kereta keluarga selain sedan.

Namun, seperti yang diutarakan penulis sebelum ini, ia lebih sesuai kepada saiz keluarga yang tidak terlalu besar kerana selepas mengambil kira ruang yang disediakan serta ruang meletak bagasi, ia mungkin 'cukup-cukup' untuk lima orang (bersama bagasi).

BAHAGIAN tempat duduk penumpang belakang boleh dilaras.

Seperti pengalaman pandu uji sebelum ini, PROTON mengadakan cabaran bahan api eko untuk menguji tahap penggunaan jimat Ertiga dalam perjalanan sejauh hampir 100 kilometer dari Subang ke Bukit Malawati, Kuala Selangor.

Di dalam ujian ini, pengamal media dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu yang menggunakan varian manual dan automatik.

Penulis dan seorang rakan wartawan diletakkan di dalam kumpulan varian automatik yang terdapat 15 kereta secara keseluruhannya, manakala satu lagi kumpulan iaitu varian manual terdapat empat kereta.

Cabaran yang memerlukan peserta melakukan pemanduan yang menepati kaedah penjimatan bahan api. Pada akhir cabaran, penulis berjaya menduduki tempat kedua secara keseluruhan.

Beralih kepada aspek keselamatan, Ertiga dilengkapi dua beg udara, ciri keselamatan ABS dengan EBD, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Dengan kelengkapan ini juga, Ertiga menerima penarafan empat bintang daripada ASEAN NCAP.

PENGAMAL media diberikan peluang menguji prestasi Ertiga.

INFO
Proton Ertiga

Varian

  • Executive (dari RM58,800 transmisi manual)
  • Executive (dari RM61,800 transmisi automatik)
  • Executive Plus (dari RM64,800)

Spesifikasi

  • Enjin 1.4L VVT, 4-silinder 16 Valve, DOHC
  • 91 hp pada 6,000rpm
  • 130Nm pada 4,000rpm
  • Penggunaan minyak 6L/100km
  • Enam tempat duduk dengan fabrik kalis air
  • Dua baris pendingin hawa (bahagian tengah dengan empat corong)
  • Sistem infotainmen: 2-DIN Radio, CD Player, MP3, iPod & iPhonel USB; 4-speaker
  • Keselamatan : Dua beg udara depan; ABS dengan EBD; sensor mengundur; tingkap kuasa anti-perangkap; ISOFIX
  • Warna pilihan : Ruby Red; Carnelian Brown; Cotton White; dan Metal Grey
Berita Harian X