Sabtu, 21 Januari 2017 | 2:20pm

Leicester hanya mahu kekal dalam EPL

PENGENDALI Leicester City, Claudio Ranieri. - Foto Reuters

LEICESTER: Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri yang pasukannya kini hanya lima mata di atas zon penyingkiran, mensasarkan kemenangan pertama di tempat lawan musim ini apabila bertandang ke Southampton, esok.

The Foxes kini menghuni tangga ke-15 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ranieri berkata sasaran utama kempen pasukannya musim ini, selepas kejayaan epik musim lalu, hanyalah untuk mengumpul 40 mata bagi mengelak penyingkiran.

"Lambat laun kami akan mula menang di tempat lawan," kata Ranieri. "Matlamat kami mengumpul 40 mata secepat mungkin.

"Kini kami mempunyai dua perlawanan di tempat lawan dan kami akan mencuba sebaik mungkin.

"Southampton pasukan yang bagus. Mereka mengawal bola dan menggerakkannya dengan pantas. Kami perlu fokus dan bermain agresif."

Ranieri turut memberi bayangan penyerangnya, Leonardo Ulloa akan kekal bersama kelab itu sehingga akhir musim ini, walaupun media British melaporkan pemain itu sudah menyerahkan permohonan perpindahan minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X