Jumaat, 20 Januari 2017 | 7:00am
PEMANDANGAN dari udara keadaan Hotel Rigopiano berhampiran gunung Gran Sasso yang ditenggelami runtuhan salji selepas wilayah Abruzzo digegarkan dengan tiga gempa bumi pada Khamis. - Foto EPA

25 dikhuatiri terbunuh hotel ditenggelami runtuhan salji

PENYELAMAT Alpine bersedia untuk menyertai operasi menyelamat berhampiran perkampungan Penne, selepas gempa bumi 5.7 pada skala Richter melanda rantau ini.- Foto AFP

PENNE: Sekurang-kurangnya 25 orang termasuk beberapa kanak-kanak dikhuatiri maut selepas runtuhan salji menenggelamkan hotel di timur pergunungan Grand Sasso, Itali.

Pegawai berkata, antara 20 hingga 22 tetamu dan tujuh atau lapan kakitangan bertugas ketika hotel itu tenggelam dalam runtuhan salji.

Usaha menyelamatkan diteruskan hingga malam tetapi prospek mangsa diselamatkan hidup-hidup dari Hotel Rigopiano kelihatan pudar, tambahan pula operasi dihalang salji tebal yang menyekat jalan ke kawasan terpencil itu.

Hotel berkenaan ditenggelami salji setebal dua meter lewat Rabu dengan kesannya cukup kuat untuk meruntuhkan bangunan tiga tingkat berkenaan dan menggerakkannya hingga 10 meter dari tempat asal.

"Kami berharap masih ada mangsa terselamat di dalamnya. Pasukan bomba dan penyelamat berusaha keras dan kini tentera melakukan apa yang mampu untuk memperbaiki laluan," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Filippo Bubbico, kepada wartawan di bandar Penne, yang menyaksikan khemah didirikan untuk pekerja penyelamat.

"Kejadian runtuhan salji kecil menghasilkan tembok salji menghalang laluan ke hotel. Kami akan teruskan usaha menyelamat selagi masih ada harapan menemui mangsa terselamat," kata Mejar Nicola Cappozolo.

Pekerja penyelamat pertama tiba di kawasan terpencil itu awal pagi Khamis dan menjelang tengah hari jentera menggali sampai ke kawasan itu.

Dua mayat dikeluarkan daripada runtuhan dan dua yang terselamat dibawa ke hospital kerana mengalami hiportemia.

Stesen penyiar Itali menunjukkan imej timbunan batu dan sisa runtuhan di jalan masuk kawasan yang kini digelar 'hotel keranda.'

Wilayah itu digegarkan dengan empat gempa berukuran lebih 5.0 magnitud dalam masa empat jam pada Rabu, apabila sekurang-kurangnya seorang disahkan maut. Pakar berkata, gegaran itu menyebabkan runtuhan salji. - AFP

Berita Harian X