X
Rabu, 18 Januari 2017 | 12:03am

Sistem DRM elak e-buku dicetak rompak lanun digital

KUALA LUMPUR: Karya novel dan sastera boleh dicetak rompak secara digital jika pengendali platform e-buku yang dipilih oleh penerbit, tidak memiliki sistem pengurus hak digital (DRM).

Pengarah Urusan E Sentral, Faiz Al Shahab, berkata DRM membenarkan hanya peranti yang digunakan pembeli saja boleh memuat turun e-buku, malah ia juga tidak akan dapat disalin untuk dipindahkan ke peranti lain.

"Pelanggan kami diberikan 'household license' yang membolehkan sehingga lima peranti mereka melayari aplikasi kami tetapi bahan dibeli hanya boleh dibaca dengan peranti yang digunakan bagi memuat turun e-buku itu saja.

"E-buku yang sudah dimuat turun ke dalam sesuatu peranti itu pula, tidak akan dapat disalin dengan pemacu pena atau diedarkan sebagai fail dengan menggunakan e-mel, sekali gus menjadi ciri utama yang menyebabkan E Sentral digunakan banyak penerbit sebagai pengendali platform mereka di negara ini," katanya kepada BH Plus.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan eksklusif BH mengenai perkembangan teknologi digital yang membuka jalan untuk pihak tidak bertanggungjawab 'merompak' pelbagai hasil karya intelek milik orang lain.

Bukan sahaja pelbagai bahan berita yang disiarkan oleh apa juga media, termasuk media arus perdana dimuat naik dan dijadikan 'karya peribadi' secara sesuka hati, hasil kreativiti pengkarya seni dan sastera seperti penulis novel turut menjadi mangsa.

LAMAN web E Sentral.
LAMAN web E Sentral.

Faiz berkata, sebagai langkah melindungi penerbit, E Sentral juga menggunakan program 'crawler' bagi mengetahui sekiranya kandungan e-buku yang dijual di platformnya, disalin oleh pihak ketiga ke laman web.

"Di sinilah pentingnya penerbit memastikan penyedia platform yang dipilih bukan saja memiliki infrastruktur, bahkan mempunyai penyampaian dan fail penyimpanan yang rapi.

"Kebiasaannya sangat jarang berlaku sebarang kebocoran e-buku kecuali pengendali platform yang digunakan tidak mantap dan mudah diceroboh," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah, berkata pihaknya mengambil sikap selektif dengan hanya melantik pengendali platform dalam talian yang ada kredibiliti seperti E Sentral dan Google Book untuk mengelak e-buku terbitannya dicetak rompak secara digital.

"Dengan teknologi yang ada hari ini, tidak sukar untuk mengangkat kandungan sesuatu buku ke dalam bentuk e-buku tetapi isu besarnya ialah mengenai keselamatan kandungan buku itu sendiri.

"Banyak pihak yang berhubung dengan ITBM bagi menjalin kerjasama dalam e-buku tetapi kami berhati-hati dengan hanya memilih pengendali platform yang mempunyai kredibiliti untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat dan mendapati isu lanun digital membabitkan penerbitan ITBM masih bersifat baharu, justeru tindakan yang akan diambil lebih kepada mendidik untuk memberi kesedaran mengenai isu ini dan bukannya menghukum mereka.

Katanya, masyarakat perlu diberi kesedaran mengenai isu hak cipta bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku dalam sebarang tindakan mereka, terutama dalam kecanggihan teknologi telekomunikasi hari ini.

"Tindakan proaktif lain yang akan diambil termasuk menasihati pengarang untuk memeriksa sekiranya terdapat naskhah mereka yang diterbitkan ITBM, dimuat naik tanpa izin dalam bentuk digital.

"Sekiranya ada, tindakan awal yang akan diambil ITBM ialah menghubungi pihak yang terbabit untuk diberi amaran untuk menurunkan kandungan itu terlebih dulu.

"Bagaimanapun, kami akan mengambil tindakan tegas sekiranya isu lanun digital membabitkan naskhah terbitan ITBM semakin teruk bukan saja bagi melindungi hak ITBM sebagai penerbit, malah hak pengarang," katanya.

INFO

- DRM membenarkan hanya peranti yang digunakan pembeli saja boleh memuat turun e-buku.

- Bahan dibeli hanya boleh dibaca dengan peranti yang digunakan bagi memuat turun e-buku itu saja.

- E-buku yang sudah dimuat turun ke dalam sesuatu peranti tidak akan dapat disalin dengan pemacu pena.

- Isu lanun digital membabitkan penerbitan ITBM masih bersifat baharu.

PENGARAH Urusan E Sentral, Faiz Al Shahab. - Foto Izhari Ariffin
PENGARAH Urusan E Sentral, Faiz Al Shahab. - Foto Izhari Ariffin

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X