Selasa, 17 Januari 2017 | 7:51pm

'Dollah mampu tingkat Pahang'

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berucap pada majlis pelancaran jersi baharu Pahang jenama JAKO di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berucap pada majlis pelancaran jersi baharu Pahang jenama JAKO di Kuantan, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

KUANTAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah percaya prestasi hambar yang dipersembahkan skuad itu tidak akan berulang dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Tengku Muda Pahang itu berkata, dengan pengalaman luas yang dimiliki pemain baharu serta kehadiran bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, ia diharap dapat membantu skuad Tok Gajah membentuk sebuah pasukan lebih mantap dan menjadi pesaing utama kepada pasukan lain.

Katanya, sentuhan magis Dollah ditagih musim ini, seperti yang pernah dipersembahkan ketika membantu Pahang muncul juara Piala Malaysia 2013, sekali gus memadam persembahan mengecewakan musim lalu.

"Saya harap musim ini Pahang dapat kembali berada pada prestasi terbaik dan tidak mengulangi kegagalan musim lalu.

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan komitmen semua pemain yang dilihat menunjukkan peningkatan, tidak seperti yang dipersembahkan bulan lalu ketika mereka pertama kali dikumpulkan.

"Ini kerana untuk menjadi sebuah pasukan yang mantap, ia memerlukan tempoh yang panjang dan saya mengharapkan musim ini Pahang kembali bangkit," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baharu Pahang jenama JAKO di sini, hari ini.

Berita Harian X