Isnin, 16 Januari 2017 | 3:47pm

Azmin nafi Stadium Shah Alam tidak diselenggara

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menafikan tuduhan bahawa pihaknya tidak menyelenggara Stadium Shah Alam hingga boleh mendatangkan risiko kecederaan kepada penonton. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kerja penyelenggaraan stadium itu tetap berterusan sekiranya ada dana yang diperuntukkan bagi tujuan itu. 

"Kita buat kerja penyelenggaraan, malah tahun lalu ada beberapa pakej yang sudah pun ditender serta dilakukan termasuk menukar kerusi penonton, tandas, bumbung dan tempat media. 

"Penyelenggaraan ini diselenggara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan kerja penyelenggaraan ini tidak pernah dinafikan, malah ia diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan, di sini. 

Kelmarin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Suara Rakyat Marhaen (SUARA), Pertubuhan Gerakan Penegak Suara Selangor (GAPENAS) dan Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS) melahirkan kekecewaan dengan keadaan Stadium Shah Alam. 

Mereka khuatir keadaan itu mendatangkan risiko kepada orang ramai berikutan sebahagian kecil daripada atapnya bocor dan diterbangkan angin, apatah lagi menjelang musim Liga Super yang bakal bermula lima hari lagi.

Sementara itu, Mohamed Azmin menegaskan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kepada badan pengurusan itu. 

"Itu (masih belum menerima surat rasmi) adalah permainan politik lapuk Rosman (Setiausaha Agung FAS, Rosman Ibrahim)," katanya.

Berita Harian X