Isnin, 16 Januari 2017 | 12:06am

Rahsia kecantikan penyelam

DUNIA laut menjadi terapi kecantikan, bagi jurulatih skuba profesional Persatuan Profesional Pengajar Menyelam (PADI), Nurul Azlifah Mohd Ismail, 41, sekali gus menangkis dakwaan ramai mengatakan kerjaya lasak tidak sesuai dipelopori wanita kerana dikhuatiri berisiko mengurangkan kecantikan sedia ada.

Pada usia sudah memasuki 40-an dan mempunyai enam anak, Nurul Azlifah mampu mengekalkan kecantikan wajah serta kulit, manakala susuk tubuh persis anak dara walaupun sudah sembilan tahun berada dalam dunia menyelam tanah air.

Wanita kelahiran Johor Bahru ini berkata, kerjaya sebagai jurulatih skuba dan penyelam fotografi profesional, sedikit pun tidak pernah mengurangkan kecantikan beliau, malah mendekatkan diri menerusi alam semula jadi .

Nurul Azlifah turut memperoleh minda positif daripada aura semula jadi, hasil daripada kerjayanya di dasar laut sehingga menampilkan wajah lebih muda dan cergas seperti remaja.


JURULATIH Skuba Profesional, Nurul Azlifah Mohd Ismail. - Foto Aziah Azmee

Gimnasium dalam laut

Katanya, kerjaya lasak sebagai penyelam membantu memudahkan beliau kekal jelita tanpa perlu berbelanja besar.

   Semuanya diperoleh secara semula jadi dan menjadi rahsia kecantikan beliau.

   Sebagai penyelam fotografi profesional, Nurul Azlifah perlu melalui rutin memikul peralatan menyelam dan kamera seberat 25 kilogram setiap kali berada dalam laut.

"Setiap minggu saya membawa alatan ini ke dasar laut. Memang berat tetapi ia sebenarnya umpama pergi ke gimnasium di laut. Menyelam membantu saya menurunkan berat badan secara mudah dan membentuk otot badan.

"Ini kerana ketika dalam laut, posisi badan perlu seimbang, kaki perlu lurus supaya tidak terlanggar terumbu karang," katanya.

Malah, sebagai penyelam ia secara tidak langsung umpama melakukan senaman dalam air ketika melakukan aktiviti mengambil gambar hidupan lautan yang mana ia berupaya membantu beliau mengempiskan perut, menganjalkan punggung dan memberi bentuk badan idaman.


NURUL Azlifah menangkis dakwaan ramai mengatakan kerjaya lasak tidak sesuai dipelopori wanita kerana dikhuatiri berisiko mengurangkan kecantikan sedia ada. - Foto Aziah Azmee

Diet penyelam

Katanya, mungkin ramai tidak tahu, penyelam tidak boleh makan secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan gejala muntah berlaku ketika berada dalam air.

"Jadi, perlu berwaspada dan amalkan diet seimbang. Dibenarkan makan tetapi dalam kuantiti sedikit. Secara tidak langsung, penyelam dapat mengawal berat badan dan mengambil pemakanan seimbang. Perut pula semakin mengecil apabila berada lama dalam air," katanya.

Beliau berkata, tugasan sebagai penyelam juga mendisiplinkan beliau dalam amalan pengambilan air putih mencukupi lantas membantu beliau mendapatkan diet dan kulit mulus.

"Penyelam terpaksa minum air dalam kuantiti banyak kerana dibimbangi mengalami dehidrasi ketika berada lama dalam air. Ini kerana dalam air, udara menjadi kering dan memerlukan penyelam mengambil enam hingga lapan liter air masak sehari," katanya.


SUSUK tubuh persis anak dara walaupun sudah sembilan tahun berada dalam dunia menyelam tanah air. - Foto Aziah Azmee

Bantu haluskan kulit

Tidak dinafikan, mineral terkandung dalam air laut membantu mencantikkan kulit . Pada masa sama, membantu merawat kulit bermasalah.

"Apabila berada dalam laut, alahan pada kulit dapat diatasi. Ini kelebihan kami sebagai penyelam. Kami dapat melakukan perkara disukai dan dapat merawat masalah kulit seperti jerawat atau ekzema. Air masin memang terbukti dapat membantu mengatasi masalah kulit dan menampilkan kulit badan dan wajah lebih muda. . Ia juga lulur semula jadi kulit Berbeza dengan air dalam kolam yang mengandungi klorin," katanya.

   Paling menggembirakan, beliau berkata karier lasak itu, membantu mengurangkan tekanan dan menenangkan jiwa.

"Untuk cantik, jiwa perlu tenang. Ini kerana tekanan boleh mempercepatkan proses penuaan pada manusia. Justeru, menjadi penyelam membuka peluang untuk saya menenangkan minda, sentiasa berfikiran positif dan terapi diri membuatkan saya sentiasa ceria," katanya.

Pada masa sama, ia umpama meditasi 'percuma' ketika melihat dan meneroka alam lautan yang memiliki seribu satu rahsia alam dan spesis hidupan.

   "Kerjaya ini mungkin dianggap lasak dan ekstrim oleh sesetengah pihak tetapi bagi saya, ia rawatan kecantikan semula jadi tanpa modal besar yang diperoleh secara mudah," katanya.


USIA Nurul Azlifah kini sudah memasuki 40-an dan mempunyai enam anak. - Foto Aziah Azmee

Info
Faedah menyelam

  • Menyelam selama 45 minit hingga sejam berupaya membakar kalori sehingga 400 kcal.
  • Ketika menyelam perlu menggerakkan keseluruhan anggota badan dari bahagian kepala sehingga ke kaki.
  • Otot kaki lebih banyak digunakan untuk bergerak di dalam air.
  • Setiap penyelam pula perlu membawa peralatan sendiri yang sememangnya berat terutama tangki oksigen sebelum turun untuk menyelam.
  • Menyelam satu sukan sihat dan cantik berupaya membakar kalori tanpa berpeluh.
NURUL Azlifah menjadi jurulatih skuba dan penyelam fotografi profesional. - Foto Aziah Azmee
NURUL Azlifah bersama suaminya, Abdul Rahman Jamaludin. - Foto Aziah Azmee
NURUL Azlifah memperoleh minda positif daripada aura semula jadi, hasil daripada kerjayanya di dasar laut. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X