Ahad, 15 Januari 2017 | 8:17am

China paling banyak bina pencakar langit

GUANGZHOU Ctf, Guangzhou, China.

BEIJING: China mengatasi negara lain selama sembilan tahun berturut-turut dalam membina bangunan dengan ketinggian lebih 200 meter, menurut Tall Buildings and Urban Habitat (CTBUH) dalam laporan tahunannya.

Menurut badan yang berpangkalan di Chicago itu, negara komunis itu membina 84 daripada 128 bangunan dalam julat ketinggian itu pada 2016, menerajui negara Asia dalam membina bangunan pencakar langit.

Negara seperti India tidak berada dalam senarai itu yang turut mengandungi Korea Selatan, Indonesia dan Filipina. Daripada 128 bangunan yang siap dibina, 107 berada di Asia.

Pencabar terdekat China adalah Amerika Syarikat (AS). Negara itu berjaya menyiapkan tujuh bangunan dalam kategori sama tahun lalu.

"Ini menjadikan jumlah bangunan lebih 200 meter meningkat kepada 1,168, menandakan peningkatan 441 peratus berbanding 265 yang wujud pada 2000," menurut CTBUH yang bertanggungjawab mengenal pasti bangunan tinggi di seluruh dunia.

Antara bangunan tertinggi yang siap tahun lalu di China adalah Pusat Kewangan CTF Guangzhou dengan ketinggian 530 meter yang menjadi bangunan tertinggi di Guangzhou, kedua tertinggi di China dan kelima tertinggi di dunia.

Dominasi China diterajui wilayah Shenzhen di selatan negara itu yang menjadi hab perdagangan dan bandar raya metropolis .

Menurut laporan itu, Shenzhen mendahului bandar raya lain di China kerana berjaya menyiapkan lebih 11 bangunan dengan ketinggian melebihi 200 meter.

Bandar raya Goyang di Korea Selatan pula menduduki tempat kedua kerana berjaya menyiapkan enam bangunan. - Agensi

Info

Lima bangunan tinggi yang berjaya disiapkan di dunia pada 2016:

1. Guangzhou Ctf, Guangzhou, China (530 meter)

2. Eton Place Dalian, Dalian, China (383 meter)

3. Vostok Tower, Moscow Russia ( 374 meter)

4. Tianjin Modern City, Tianjin China ( 338 meter)

5. Global City Square, Guangzhou China ( 319 meter)

Berita Harian X