Sabtu, 14 Januari 2017 | 12:23pm

10 kenderaan hangus

KEDAI kereta terpakai di Jalan Lanang, Sibu musnah dalam kebakaran pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

SIBU: Sepuluh kenderaan musnah dalam kebakaran sebuah kedai menjual kereta terpakai di Jalan Lanang, di sini, pagi tadi.

Seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun yang tinggal di tingkat satu bangunan berkenaan berjaya diselamatkan dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.47 pagi dan lima jentera termasuk dua kenderaan EMRS bersama 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu serta Balai Bomba dan Penyelamat Sungei Merah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi pada jam 5.57 pagi, didapati kebakaran sudah merebak ke seluruh bangunan dua tingkat itu yang menempatkan kereta terpakai.

"Seorang lelaki tua, Tay Chiew Hwang terperangkap di tingkat satu bangunan berjaya diselamatkan tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian dan mentaksir jumlah kerugian.

Berita Harian X