Jumaat, 13 Januari 2017 | 12:03am

Hayati, amal kandungan kitab suci

AL-QURAN seharusnya menjadi 'kitab induk' panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT: "Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan, Allah SWT memuliakan bulan puasa di antara bulan lain dengan memilihnya sebagai bulan diturunkan al-Quran. Dia memberikan keistimewaan itu pada bulan Ramadan yang dinyatakan dalam hadis sebagai bulan kitab ilahiah diturunkan kepada nabi.

Dari sudut istilah, nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. Nuzul al-Quran suatu peristiwa besar penuh makna dan hikmah. Al-Quran seharusnya menjadi 'kitab induk' panduan ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya.

Bukan setakat membaca, bahkan kita harus berusaha menyelidiki rahsia ilmu pengetahuan di dalamnya.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Al-Quran adalah an-nur (cahaya yang menerangi), al-furqan (membezakan hak dan batil) dan al-zikr (memberi peringatan).

Allah SWT menurunkan al-Quran sebagai mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan-Nya. Mukjizat teragung ini terus menjadi mukjizat terhebat di sepanjang sejarah kehidupan manusia sehinggalah berlakunya kiamat.

Ibnu Masu'd menjelaskan tujuan penurunan al-Quran dengan ungkapannya, "Diturunkan al-Quran kepada mereka untuk diamalkan, maka jadilah pengajiannya untuk beramal. Sesungguhnya seseorang kamu membaca al-Quran dari permulaan sehingga akhirnya, tidak ada satu huruf pun yang tertinggal, apa yang tertinggal hanyalah amalannya."

Al-Quran tidak cukup sekadar dibaca dan dihafal semata-mata, tetapi perlu beramal dengan keseluruhan isi kandungannya. Sahabat mengambil masa yang panjang untuk menghafal surah dari al-Quran. Saidina Umar mengambil masa 12 tahun untuk menghafal surah al-Baqarah, manakala anaknya Abdullah lapan tahun.

Al-Quran syafaat di akhirat

Sahabat sebenarnya tidak memerlukan masa begitu panjang untuk menghafal al-Quran, tetapi mereka bukan sahaja menghafal tetapi pada masa sama mentadabbur, merenung, berfikir dan beramal dengan apa yang mereka baca.

Tanpa kefahaman seperti ini, kita hanya mementingkan aspek gaya bacaan, kemerduan suara atau juzuk hafalan. Anas bin Malik memberi amaran, berapa ramai yang membaca al-Quran, tetapi al-Quran melaknat mereka.

Kita perlu menilai sejauh mana hubungan dengan al-Quran yang boleh memberi syafaat di akhirat kelak. Sabda Rasulullah SAW: "Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya." (Riwayat Muslim)

Kita tidak mahu al-Quran mengadu kepada Allah, "Ya Allah mereka mempersia-siakan aku, mereka menghafal hurufku tetapi tidak beramal dengan isi kandunganku".

Hal ini dapat difahami melalui rintihan Rasulullah SAW melalui firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai." (Surah al-Furqan, ayat 30)

Ayat itu memberi gambaran mereka bukan meninggalkan bacaan, tetapi meninggalkan pelaksanaan yang dituntut dalam al-Quran. Mereka membaca al-Quran untuk orang yang sudah meninggal dunia, tetapi terlupa membaca untuk diri sendiri.

Sesungguhnya sikap mukmin sebenar apabila mendengar al-Quran akan gementar hati, khusyuk jiwa dan bergenang air mata di kelopak mata mereka. Semoga Allah SWT meletakkan kita dalam kalangan yang menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama dalam melayari kehidupan.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X