Selasa, 10 Januari 2017 | 12:55pm

3 cedera nahas 11 kenderaan

SEREMBAN: Tiga cedera dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 272.1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Seremban di sini, pagi tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 pagi dan bergegas ke lokasi bersama tiga jentera serta sembilan pegawai dan anggota.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan 10 kereta dan sebuah motosikal.

"Dua pemandu wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun cedera ringan, manakala seorang penunggang motosikal berusia 39 tahun cedera parah," katanya di sini, hari ini.

Faizal berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kejadian turut menyebabkan kesesakan jalan raya sejauh kira-kira tiga kilometer.

Berita Harian X