Isnin, 9 Januari 2017 | 12:49pm

FAM komited tingkat kualiti jurulatih tempatan


TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) komited untuk meningkatkan kualiti jurulatih-jurulatih tempatan.

Antara langkah yang dicadangkan ialah mewajibkan semua jurulatih Liga Malaysia mempunyai lesen profesional Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah, FAM bercadang melaksanakan peraturan itu bermula tahun 2018, tetapi bergantung kepada persetujuan pihak-pihak terbabit.

"Buat masa ini ia masih di peringkat cadangan, tetapi kami yakin ia satu langkah positif bagi meningkatkan kualiti jurulatih-jurulatih tempatan," katanya.

"Ia secara tidak langsung mampu meningkatkan kualiti Liga Malaysia supaya setanding dengan liga-liga lain di luar negara."

Afandi turut tidak menolak kemungkinan untuk mengadakan kursus pengambilan lesen itu di Malaysia, sekali gus memudahkan jurulatih-jurulatih tempatan mendapatkan lesen berkenaan.

"Ia satu cadangan yang baik kerana mampu menjimatkan wang dan masa bagi proses pengambilan lesen berkenaan. Kita sedang berusaha ke arah itu," katanya.

Berita Harian X