Isnin, 9 Januari 2017 | 10:56am

Reman wanita kes abai budak disambung

SEORANG wanita yang ditahan berhubung kes mengabaikan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di rumahnya di Gemencheh, Khamis lalu, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Tampin, hari ini selepas dibenarkan melanjutkan tempoh reman sehingga Rabu ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

TAMPIN: Tempoh tahanan reman wanita yang ditahan berhubung kes mengabaikan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun di rumahnya di Gemencheh dekat sini, Khamis lalu, dilanjutkan selama dua hari.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata tempoh reman suspek berusia 36 tahun yang ditahan Jumaat lalu tamat hari ini, namun pihaknya memohon lanjutan bagi melengkapkan siasatan.

"Mahkamah Majistret Tampin membenarkan tempoh reman disambung sehingga Rabu ini," katanya hari ini.

Kanak-kanak itu diselamatkan selepas penduduk kampung terdengar suara tangisannya.

Dia ditemui dalam keadaan bogel dan terbaring kelaparan di dalam bilik yang gelap di rumah itu di Kampung Parit Buloh, Gemencheh di sini, pada jam 12.45 tengah malam Khamis lalu.

Wanita terbabit mulanya mengaku sebagai ibu kanak-kanak lelaki itu, namun siasatan lanjut mendapati dia bukan ibu kandung, sebaliknya mengambil upah menjaga anak orang lain.

Berita Harian X