Ahad, 8 Januari 2017 | 8:31pm

Dua cedera ringan kemalangan enam kenderaan

KEADAAN PERODUA Alza dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah bas RapidKL di Kilometer (KM) 5.4 Lebuh raya Persekutuan berhampiran susur masuk Mid Valley, petang tadi.

KUALA LUMPUR: Dua cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan termasuk sebuah bas di Kilometer (KM) 5.4 Lebuh raya Persekutuan berhampiran susur masuk pusat membeli-belah Mid Valley, di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu membabitkan tiga buah PROTON Saga, Nissan Serena, PERODUA Alza dan bas RapidKL.

Kemalangan dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang dikatakan membrek secara mengejut menyebabkan kenderaan lain di belakang juga terpaksa membrek.

Sebuah bas yang berada di kedudukan paling belakang dikatakan gagal mengawal kenderaan lalu merempuh PERODUA Alza di hadapannya hingga kenderaan itu naik ke atas PROTON Saga BLM yang kemudian turut melanggar tiga kenderaan lain.

Pemandu PERODUA Alza, Frankie Ang,47, berkata dia terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat dari arah belakang sebelum kenderaannya 'terbang' dan tersangkut pada kereta hadapan.

"Saya dan pemandu kenderaan di hadapan sempat menekan brek dan tidak sampai satu saat saya hilang kawalan apabila sebuah bas melanggar belakang kereta saya.

"Saya tidak sempat berbuat apa-apa dan ketika itu rasa seperti sudah mahu mati," katanya yang mengalami lebam di tangan.

Sementara itu, pemandu PROTON Saga BLM, Siew Mai,30, berkata dia turut terkejut apabila kereta di belakang merempuh sebelum naik ke atas kenderaannya.

Dia bersyukur kerana beg udara menjadi penyelamat biar pun kenderaannya remuk dan hanya mengalami luka di kaki serta lebam di tangan.

"Jika dilihat, kereta saya paling teruk tetapi, mujur semuanya selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan berlaku di lorong kedua yang ketika itu sesak.

"Pemandu Nissan Serena berada paling hadapan membrek kerana jalan sesak dan pada masa sama bas RapidKL yang di kedudukan paling belakang hilang kawalan lalu melanggar kenderaan lain di hadapannya.

"Kemalangan hanya membabitkan kerosakan kenderaan dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SIEW Mai.
Berita Harian X