Sabtu, 7 Januari 2017 | 12:36pm

Syaidatul Afifah sasar wakili negara Sukan SEA KL

PEMAIN boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - Foto Goh Thean Howe
PEMAIN boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - Foto Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Pemain boling, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi tekad untuk menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik bagi memastikan dirinya terpilih mewakili negara pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Katanya, setakat ini terdapat 10 pemain yang berpeluang menggalas cabaran negara termasuk Shalin Zulkifli dan Sin Li Jane, masing-masing sedang menyertai Program Podium.

Selebihnya adalah dari Program Kita Juara 2017 iaitu Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah, Nur Syazwani Sahar, Sharon Koh, Radin Nur Najwa Arifah Radin Dzulfakar, Victoria Chin dan Natasha Roslan.

"Saya berazam untuk beraksi di Sukan SEA tahun ini. Sekarang ini pasukan negara mempunyai 10 orang pemain wanita. Namun hanya enam yang terbaik akan berada dalam senarai akhir untuk mewakili negara Ogos nanti.

"Jadi saya perlu kekal konsisten dan meraih podium dalam kejohanan akan datang sebelum masuk fasa ketiga, Mac ini.

"Kami mungkin akan bertanding dalam Piala Emir di Doha (27 Februari hingga 5 Mac) dan Terbuka Bahrain di Manama (7 hingga 12 Mac). Jadi saya perlu catat kejayaan dalam kedua-dua kejohanan itu nanti," katanya kepada BH Online.

Mengulas lanjut, Syaidatul Afifah berkata jika namanya disenaraikan, dia mensasarkan untuk meraih podium menerusi acara individu memandangkan pasukan kebangsaan mempunyai peluang cerah untuk menghadiahkan pingat emas.

"Saya berhasrat untuk cipta kejayaan menerusi acara individu kerana saya yakin pasukan negara mampu hadiahkan pingat emas.

"Tapi saya dapat rasakan pasukan Singapura akan datang dengan misi membalas dendam di Kuala Lumpur kerana Malaysia mengalahkan mereka di laman sendiri pada 2015," katanya.

Sebagai rekod, pada temasya Sukan SEA dua tahun lalu, Malaysia menggondol tiga pingat emas, satu perak dan dua gangsa untuk meninggalkan Singapura selaku naib juara dengan pencapaian satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Syaidatul Afifah bersama Shalin meraih pingat gangsa menerusi acara beregu wanita.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X