Jumaat, 6 Januari 2017 | 9:54am

Bekas pemimpin pemberontak Haiti ditahan di stesen radio

Senator Youri Latortue (tengah) tiba di tempat kejadian di mana Guy Philippe (gambar kecil) ditahan, di Port-au-Prince, Haiti. - Foto EPA

PORT AU PRINCE: Bekas pemimpin pemberontak Haiti yang dikehendaki di Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan dadah, ditahan semalam ketika hadir pada rancangan bual bicara secara langsung di stesen radio.

Ketika ditahan, Guy Philippe yang baru-baru ini dipilih sebagai anggota Senat, sedang ditemubual bersama seorang lagi tetamu, sebelum juruhebah memaklumkan polis dari daerah Petionville berada di luar studio untuk memberkasnya.

Juruhebah Gary-Pierre Paul Charles kemudian memaklumkan kepada The Associated Press, bahawa polis terbabit adalah daripada Unit Antidadah Haiti.

Beberapa tembakan turut dilepaskan ke udara bagi meleraikan orang ramai yang berkumpul di tempat kejadian.

"Ia sesuatu yang mengejutkan. Orang ramai berlari bertempiaran," katanya.

Sementara itu, Pentadbiran Pencegahan Dadah AS yang gagal dalam usaha menahan Philippe ketika serbuan pada tahun 2007, tidak memberikan sebarang komen berhubung penahanan itu.

Maklumat juga tidak diperoleh sama ada Philippe akan diekstradisi ke AS. Malah, pihak berkuasa Haiti dan peguam bekas pemimpin pemberontak itu gagal dihubungi untuk mendapat sebarang komen. - AP

Berita Harian X