Jumaat, 6 Januari 2017 | 6:49am

Riyad Mahrez dipilih Pemain Terbaik Afrika

RIYAD Mahrez.- Foto Reuters
RIYAD Mahrez.- Foto Reuters

ABUJA, Nigeria: Penyerang Algeria, Riyad Mahrez diundi sebagai Pemain Tahunan Afrika atas kejayaannya membantu Leicester City menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Mahrez, 25, mengenepikan ketua pasukan Gabon dan penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang yang juga pemenang anugerah itu tahun lalu.

Tempat ketiga menjadi milik bintang Senegal dan Liverpool, Sadio Mane.

Penyerang kelahiran Perancis itu berkata adalah satu kebanggaan untuk memenangi anugerah selaku Pemain Afrika terbaik.

"Ia penghargaan yang besar, saya gembira dan bersyukur. Saya berterima kasih kepada semua rakan sepasukan saya di Leicester dan Algeria," kata Mahrez ketika menerima anugerah terbabit di sini, sebentar tadi.

"Saya dedikasikan kejayaan ini kepada keluarga saya dan kepada sesiapa yang menyokong saya setiap hari."

Leicester mencipta kejutan terbesar apabila mencipta kejayaan dianggap 'dongeng' dengan memenangi EPL pada musim lalu.

Mahrez memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad diberi jolokan The Foxes itu apabila menjaringkan 17 gol, 10 umpanan dalam 37 penampilan.

Dia muncul pemain Algeria pertama memenangi trofi EPL dan mencipta keraian besar di negara kelahirannya dengan Leicester disangkakan kelab ragbi ketika dihubungi pasukan itu empat tahun lalu.

Ketiga-tiga pemain yang berada dalam senarai akhir Pemain Terbaik Tahunan Afrika turut tersenarai dalam kesebelasan terbaik Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) yang turut menampilkan pertahanan Ivory Coast, Eric Bailly dari Manchester United.

Penjaga gol, Denis Onyango pula dipilih Pemain Terbaik Afrika beraksi di Afrika dengan kejayaannya mengemudi juara Afrika Selatan, Sundown menjulang trofi Liga Juara-Juara Afrika.

SENARAI PEMENANG:

Pemain Terbaik Tahunan:

Riyad Mahrez (Algeria & Leicester City)

Pemain Terbaik Tahunan - Berpangkalan di Afrika: Denis Onyango (Uganda & Mamelodi Sundowns)

Pemain Wanita Terbaik: Asisat Oshoala (Nigeria & Arsenal Ladies)

Pemain Paling Berbakat: Kelechi Iheanacho (Nigeria & Manchester City)

Pemain Muda Terbaik: Alex Iwobi (Nigeria & Arsenal)

Jurulatih Tahunan: Pitso Mosimane (Mamelodi Sundowns)

Kelab Terbaik: Mamelodi Sundowns

Pasukan Kebangsaan Terbaik: Uganda

Pasukan Kebangsaan Wanita Terbaik: Nigeria

Pengadil Terbaik: Bakary Papa Gassama

Kesebelasan Utama CAF 2016:

Penjaga gol - Denis Onyango (Uganda & Mamelodi Sundowns),

Pertahanan - Serge Aurier (Cote d'Ivoire & PSG), Aymen Abdenour (Tunisia & Valencia), Eric Bailly (Cote d'Ivoire & Manchester United), Joyce Lomalisa (DRC &AS Vita)

Tengah - Khama Billiat (Zimbabwe & Mamelodi Sundowns), Rainford Kalaba (Zambia & TP Mazembe),Keegan Dolly (South Africa & Mamelodi Sundowns)

Penyerang - Pierre-Emerick Aubameyang (Gabon & Borussia Dortmund), Sadio Mane (Senegal & Liverpool), Riyad Mahrez (Algeria & Leicester City)

Gantian - Aymen Mathlouthi (Tunisia & Etoile du Sahel), Kalidou Koulibaly (Senegal & Napoli), Salif Coulibaly (Mali & TP Mazembe), Islam Slimani (Algeria & Leicester City), Mohamed Salah (Egypt & Roma), Kelechi Iheanacho (Nigeria & Manchester City), Alex Iwobi (Nigeria & Arsenal). - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X