Khamis, 5 Januari 2017 | 12:05am

Krisis kelapa bakal landa negara: Johor sedia hadapi krisis kelapa

BATU PAHAT: Johor memperluaskan zon tanaman kelapa di negeri ini dengan membuka dua nurseri khas bagi mengeluarkan benih kelapa hibrid iaitu tacunan dan matag. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed, berkata dua nurseri khas itu masing-masing adalah Taman Pertanian Kong-Kong, Masai seluas 8.09 hektar dan Ladang Bukit Bujang, Segamat seluas 40.4 hektar yang diusahakan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ).

Katanya, kelapa tacunan diperoleh dari Jabatan Pertanian Sabah adalah kelapa jenis rendah atau renek dengan ciri-ciri buah bersaiz besar, berbuah awal dan kos pengeluaran lebih murah.

Sementara kelapa matag pula mampu mengeluarkan hasil sekali ganda lebih banyak berbanding kelapa biasa dengan isi lebih tebal dan berkualiti serta mampu menjana pendapatan lebih tinggi menjadi rebutan ramai pengusaha ladang kelapa di negara ini.

"Kerajaan Johor menyasarkan pada 2018 untuk mula mengagihkan benih-benih kelapa yang disemai di dua nurseri berkenaan secara percuma kepada petani negeri ini bagi memperluaskan zon tanaman kelapa di negeri ini.

"Sejak dua tahun lalu, kerajaan negeri berusaha membangunkan dua nurseri berkenaan bagi membolehkan kita mengeluarkan benih kelapa tacunan di Taman Pertanian Kong-Kong manakala kelapa matag di Ladang Bukit Bujang, Segamat, bagi mengurangkan pergantungan terhadap import kelapa biji.

PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Ismail Mohamed. - Foto Syarafiq Abd Samad

PEKERJA melakukan pemunggahan kelapa dari kapal ke dalam lori sebaik tiba dari Indonesia untuk kegunaan seluruh negara sepanjang Ramadan di Pelabuhan Barter Trade , Batu Pahat. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad

"Selain itu, Pusat Pertanian Jorak, Muar milik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga menjadi pusat menyemai benih kelapa matag tetapi ia perlu dikongsi untuk seluruh negara dan ia tidak mencukupi.

"Tahun ini pula, kerajaan negeri akan mengagihkan 10,000 benih kelapa pandan secara percuma kepada petani yang berminat untuk menanam pokok kelapa ini sebagai langkah segera mengatasi masalah kekurangan kelapa. Mereka yang berminat perlu menghubungi Jabatan Pertanian Johor," katanya kepada BH.

Ismail berkata, usaha menambah zon penanaman kelapa di negeri ini dilakukan dengan serius berikutan usaha bersepadu pihak industri kelapa di Indonesia yang melobi Kerajaan Indonesia supaya melarang eksport kelapa biji atau segar dari negara berkenaan.

Katanya, negara bakal berdepan krisis kelapa meruncing jika tidak bersedia daripada sekarang dan masih bergantung dengan kelapa import daripada Indonesia.

"Kerajaan Johor komited untuk memperluaskan zon tanaman kelapa di negeri ini malah pada mesyuarat Exco pada Jun lalu memutuskan untuk permohonan tanah baharu kerajaan syarat ditetapkan untuk ia ditanam tanaman campuran serta kelapa sahaja.

"Kita juga akan mewartakan tanah di daerah ini, Segamat dan Kota Tinggi khusus untuk tanaman kelapa bagi memastikan bekalan kelapa untuk stok makanan negara tidak terjejas dalam masa terdekat," katanya.

SEJAK dua tahun lalu, kerajaan negeri Johor berusaha membangunkan dua nurseri di Masai dan Segamat bagi membolehkan mengeluarkan benih kelapa tacunan, matag. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad

Ismail berkata, ramai usahawan tani di negeri serta negara ini berminat untuk menanam lebih banyak kelapa terutama kelapa matag namun benihnya sukar diperoleh kerana proses pembenihan yang rumit serta mengambil masa.

Katanya, menerusi pengalaman Jabatan Pertanian Johor di dua nurseri khas di negeri ini setiap 100 proses pendebungaan untuk mengacukkan baka kelapa gading dan tacunan bagi menghasilkan kelapa matag hanya akan berjaya menghasilkan benih kelapa matag sekitar 30 hingga 40 peratus sahaja.

"Bakinya pula benih itu akan menjadi kelapa induk semula apatah lagi proses pendebungaan dilakukan secara manual dan mengambil masa antara empat hingga lima tahun," katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, ramai usahawan tani berminat untuk menanam kelapa matag berikutan ia mampu menjana hasil pendapatan sehingga lebih RM5,000 sebulan berbanding kelapa sawit yang hanya mampu menjana antara RM700 hingga RM800 bagi setiap 0.4 hektar.

"Usahawan tani yang menanam pokok kelapa selalunya akan turut menanam tanaman sampingan seperti kopi di antara pokok kelapa selain mengusahakan perusahaan madu kelulut dan ini menjana pendapatan lebih tinggi berbanding jika mengusahakan kelapa sawit," katanya.

INFO

  • Kelapa matag mampu mengeluarkan hasil sehingga 250 biji kelapa setahun.
  • Kelapa tacunan 200 biji kelapa setahun.
  • Kelapa pandan 180 biji kelapa setahun.
  • Hanya 200,000 biji kelapa sebulan mampu dikeluarkan ladang kelapa di Johor berbanding keperluannya lebih 600,000 biji sebulan.
  • Kira-kira 3 juta biji kelapa Indonesia dibawa masuk menerusi Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat, Johor, setiap bulan sebelum diedarkan ke seluruh negara.
  • Kira-kira 1.5 juta biji kelapa Indonesia dibawa masuk menerusi Batu Pahat khusus untuk kegunaan musim Aidilfitri setiap tahun bagi pasaran Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
KERAJAAN Johor menyasarkan pada 2018 untuk mula mengagihkan benih-benih kelapa yang disemai secara percuma kepada petani negeri ini bagi memperluaskan zon tanaman kelapa di Johor. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad
JOHOR memperluaskan zon tanaman kelapa di negeri ini dengan membuka dua nurseri khas bagi mengeluarkan benih kelapa hibrid iaitu tacunan dan matag di Masai dan Segamat. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad
KIRA-KIRA 3 juta biji kelapa Indonesia dibawa masuk menerusi Pelabuhan Barter Trade Batu Pahat, Johor, setiap bulan sebelum diedarkan ke seluruh negara. - Foto fail NSTP/Syarafiq Abd Samad
Berita Harian X