Rabu, 4 Januari 2017 | 2:34pm

Alli, Kane tak akan dijual pada sebarang harga


Gandingan serangan Tottenham Hotspurs, Harry Kane (kiri) dan Dele Alli. - Foto http://www.allsoccerplanet.com/

LONDON: Gandingan serangan Tottenham Hotspurs, Dele Alli dan Harry Kane tidak akan dijual pada sebarang harga.

Manchester United dan Real Madrid adalah antara kelab elit yang berminat untuk menandatangani dua pemain antarabangsa muda England berkenaan.

Tetapi kedua-duanya tiada keinginan untuk meninggalkan White Hart Lane dan kelab itu tidak akan melayan sebarang tawaran untuk mendapatkan pemainnya.

Real tidak dapat membuat tawaran untuk mana-mana pemain pada jendela perpindahan Januari kerana penggantungan selepas melanggar peraturan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), tetapi Spurs akan cuba untuk menolak sebarang tawaran pada musim panas.

Alli menandatangani kontrak baharu bersama Spurs pada September lalu, sekali gus mengikatnya dengan kelab itu sehingga 2022, manakala Kane juga sudah menandatangani perjanjian baharu musim ini.

Alli disifatkan pengurus Mauricio Pochettino sebagai bakat besar bagi bola sepak Inggeris.

Pochettino berkata: "Dia seorang pemain yang sangat agresif di bahagian serangan, sekali gus menjadikan dia amat berbahaya.

"Dia memiliki pemahaman yang hebat terhadap permainan dan pakar di bahagian serangan, mempunyai mentaliti yang baik dan keyakinan diri yang tinggi.

"Dia adalah bakat paling istimewa yang muncul dari bola sepak Inggeris ketika ini." - AGENSI

Berita Harian X