Rabu, 4 Januari 2017 | 12:08am

Semangat 'orang putih' dalam diri Melayu tebal

AHLI panel wacana cedekia-Berakal Antarabangsa Berakar Kebangsaan, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ghouse Nasuruddin (kiri), Prof Madya Dr Awang Azman Pawi dan Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
AHLI panel wacana cedekia-Berakal Antarabangsa Berakar Kebangsaan, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ghouse Nasuruddin (kiri), Prof Madya Dr Awang Azman Pawi dan Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, di Dewan Bahasa dan Pustaka. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Tanpa disedari, kolonialisme masih membekas dalam sebahagian warga Malaysia yang mengalih identiti dan nilai masyarakatnya. Meskipun bertutur bahasa Melayu dan berkulit sawo matang, sifat 'pemuja Inggeris' (anglophile) masih wujud tanpa disedari.

Hegemoni budaya ini tegas Pensyarah Pusat Kajian Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, menjadikan sebilangan masyarakat Malaysia adalah 'orang putih' dengan membawa pandangan bahasa etnik tidak boleh menjadikan kita berjaya, sebaliknya kejayaan itu hanya boleh dicapai dengan menguasai bahasa Inggeris.

Idea ditanam penjajah

"Idea itu ditanam oleh penjajah Inggeris di negara jajahan mereka seperti di India, dan ia masih wujud di negara kita meskipun selepas merdeka," katanya dalam Wacana Cendekia: Berakal Antarabangsa Berakal Kebangsaan yang turut disertai Pensyarah Pusat Pengajian Seni USM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamed Ghouse Nasuruddin dan dimudahcarakan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Ahmad Murad sebelum ini dalam kolumnya di New Straits Times menulis penjajahan Inggeris di Tanah Melayu menyaksikan penubuhan sekolah Inggeris seperti Penang Free School pada 1816, diikuti beberapa sekolah lain seperti Institut Victoria Kuala Lumpur 1893, Kolej Melayu Kuala Kangsar (1905) dan Sekolah Clifford Kuala Lipis (1913).

Meskipun, ia bertujuan mendidik anak tempatan, penubuhannya tidak ikhlas kerana ia adalah usaha untuk menerapkan idealisme Inggeris dalam kalangan masyarakat tempatan.

Ahmad Murad berkata, konsep itu membolehkan Inggeris terus menjajah negara ini secara implisit melalui minda masyarakat tempatan.

Untuk rekod, Inggeris mula bertapak di Tanah Melayu pada 1786 dengan mengambil alih pentadbiran Melaka daripada Belanda. Tarikh itu dianggap ramai sejarawan sebagai permulaan penjajahan Inggeris di negara ini.

Bagaimanapun, Mohamed Ghouse dalam pandangan balasnya menyebut, hal demikian tidak tepat dengan mengambil contoh dirinya yang meskipun terdidik di Penang Free School pada 1957, beliau masih orang Melayu yang mempunyai penghargaan tinggi terhadap falsafah, budaya dan kesusasteraan Melayu.

Faktor persekitaran

Tegas Mohamed Ghouse, yang menjadikan seseorang itu Melayu atau tidak selain DNA, adalah persekitaran yang membesarkannya. Ketika belajar di sana tegas Mohamed Ghouse, tidak pula pembelajaran itu terhad kepada pemikiran dan peradaban Barat semata-mata.

"Seorang Melayu jika tinggal sejak kecil di Amerika dan terdedah kepada budaya Amerika mungkin tidak akan sama dengan Melayu yang tinggal di Malaysia," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X