Ahad, 1 Januari 2017 | 3:10pm

Guardiola kibar 'bendera putih'

PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola kecewa selepas pasukannya tewas 0-1 kepada Liverpool, awal pagi tadi. - Foto Reuters

LIVERPOOL: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya kini bergelut hanya untuk mengisi posisi empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) susulan kekalahan 1-0 ke atas Liverpool, awal pagi tadi.

Kekalahan pada malam tahun baharu di Anfield menerusi gol tunggal Georginio Wijnaldum menyaksikan City ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Chelsea.

City bakal terkeluar daripada slot Liga Juara-Juara jika Arsenal dan Tottenham Hotspurs mencatat kemenangan, malam ini menentang Crystal Palace dan Watford.

Ketika ditanya sama ada City bergelut untuk mengekalkan kedudukan empat teratas liga, Guardiola membalas: "Sudah tentu. Ia sudah pasti sukar untuk semua pasukan."

Dengan Chelsea segar dengan rekod 13 kemenangan berturut-turut hasil kemenangan ke atas Stoke City, Guardiola mengakui sukar buat pasukannya menafikan bahang yang diberikan kelab barat London itu.

Malah, bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu seakan pasrah dengan mengakui City mungkin terpaksa mengubah keutamaan terhadap Liga Juara-Juara dan Piala FA seandainya kejuaraan liga tampak jauh.

"Mereka menang 12 atau 13 perlawanan berturut-turut, jadi sudah tentu untuk menggugurkan mata bukan mudah," kata pengurus kelahiran Sepanyol itu.

"Namun kita baru memulakan babak kedua (musim ini), jadi dengan semua rasa hormat kepada pasukan lain, kami perlu fokus terhadap diri kami dan cuba untuk lakukan apa yang perlu kami lakukan iaitu memenangi perlawanan.

"Apabila kamu ketinggalan 10 mata, kamu perlu fokus untuk perlawanan berikutnya. Kami tidak boleh bercakap mengenai sasaran ketika ini. Kamu perlu fokus, bermula dengan perlawanan selepas hari ini, babak kedua.

"Ada begitu banyak perkara untuk direbut, Liga Perdana, Liga Juara-Juara, Piala FA, juara bagi musim depan. Apabila ia berakhir, dengan berbaki sebulan atau dua, kami akan melihat apa posisi kami dan ketika itu kami akan memutuskan apa sasaran kami."

Lawan City selepas ini adalah Burnley di laman sendiri, Etihad esok manakala Liverpool memburu kemenangan kelima berturut-turut menentang kelab tiga tercorot liga, Sunderland. - AFP

Berita Harian X