Sabtu, 31 Disember 2016 | 7:57am

Liverpool, City - kelab mana bakal kembali ke 'gua'

Jelas sekali Chelsea muncul sebagai pasukan paling konsisten sepanjang saingan separuh pertama musim ini. Kemenangan 12 kali berturut-turut - terakhir membenam Bournemouth 3-0 minggu lalu - sudah cukup membayangkan keunggulan mereka.

Selepas 18 perlawanan, The Blues terus unggul di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan himpunan 46 mata. Pesaing terdekat mereka, Liverpool enam mata ketinggalan, hasil kejayaan menjinakkan Stoke City, 4-1, pada awal pagi Selasa lalu.

Manchester City berada di tangga ketiga, ketinggalan tujuh mata di belakang Chelsea dan satu mata di belakang The Reds, manakala Arsenal, Tottenham Hotspur dan Manchester United, mengekori rapat di belakang.

Tatkala aksi penamat separuh pertama musim ini akan berlangsung pada hujung minggu ini, dan aksi pembukaan untuk separuh kedua musim ini pada Isnin, saya jangkakan tidak berlaku perubahan ketara dari segi kedudukan lima teratas.

Bagi minggu ke-19 hujung minggu ini, Chelsea lagi sekali dijangka tiada masalah besar mengutip mata penuh apabila melayan kunjungan Stoke City untuk merakam kemenangan ke-13 berturut-turut.

Cuma, pada minggu seterusnya di tahun baharu, barulah mereka dijangka mendapat cabaran sengit, apabila berkunjung ke White Hart Lane awal pagi Khamis, untuk bertemu dengan Tottenham Hotspur.

Pun begitu, pada minggu penutup separuh pertama musim ini, saingan tumpuan tentulah membabitkan pertembungan antara Liverpool dan City di Anfield pada awal pagi Ahad ini.

Pertarungan pencabar utama The Blues yang menduduki tangga kedua dan ketiga liga ini memang sangat dinantikan. Ada yang menyifatkan ia sebagai titik permulaan bagi kedua-dua kelab untuk menjarakkan kedudukan dan sekali gus mengejar Chelsea.

Andai ditanya penyokong tegar kedua-dua kelab ini, mereka pastinya dengan gah akan berkata pasukan masing-masing akan menang aksi ini. Tiada istilah tewas. Andai itu berlaku, tentu `pintu gua terbuka luas' untuk mereka kembali `bertapa semula'.

Sebelum pertembungan ini berlangsung, mari kita lihat statistik terdahulu. Dalam 38 pertemuan sebelumnya, nyata The Reds boleh mendabik dada apabila mencatat 17 kemenangan berbanding tujuh diraih The Citizens manakala selebihnya seri.

Selain itu, Liverpool juga menunjukkan dominasi mereka ke atas jiran United ini apabila menang tiga kali berturut-turut dalam pertemuan terakhir kedua-dua kelab berkenaan.

Pada aksi terakhir 2 Mac lalu di Anfield, anak buah Klopp menang 3-0, manakala pada 21 November 2015 di Stadium Etihad, The Reds menjinakkan lawannya itu, 4-1. Mereka juga menang pada pertemuan 1 Mac 2015, dengan keputusan 2-1.

Kali terakhir Liverpool menang empat kali berturut-turut ke atas City adalah pada tahun 1981. Buat City pula, kali terakhir mereka menang di Anfield adalah pada Mei 2003.

Ketika itu, Nicolas Anelka menjaringkan dua gol bagi memastikan keputusan 2-1 ke atas bekas kelabnya itu. Apakah Jurgen Klopp turut memiliki ramuan ajaib untuk mengecewakan Pep Guardiola di Anfield Ahad ini? Agak sukar untuk saya ramalkan.

Sementara itu, dua lagi kelab gergasi EPL, Arsenal dijangka tiada masalah mengecewakan Crystal Palace manakala United yang terus mencatat kemenangan, harus juga tiada masalah mengenepikan cabaran Middlesbrough pada hujung minggu ini.

Selamat tahun baru dan selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-19:

Hull City 1 Everton 1

Burnley FC 2 Sunderland 2

Man United 3 Middlesbrough 0

Swansea City 1 Bournemouth 1

Chelsea 4 Stoke City 2

Southampton 1 West Brom 1

Leicester City 1 West Ham 1

Liverpool 1 Man City 1

Watford 1 Tottenham 2

Arsenal 1 Crystal Palace 2

Ramalan Minggu ke-20

Middlesbrough 2 Leicester City 2

Sunderland 1 Liverpool 3

Man City 4 Burnley FC 1

Everton 1 Southampton 1

West Brom 1 Hull City 1

West Ham 1 Man United 3

Bournemouth 2 Arsenal 3

Stoke City 2 Watford 2

Crystal Palace 2 Swansea City 2

Tottenham Hotspur 2 Chelsea 2

Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Editor Sukan BH

Berita Harian X