Khamis, 29 Disember 2016 | 5:08pm

Hilang punca pencarian, suami diserang strok


NOR Azizah Ibrahim bersama suaminya, Mohd Amin Kasyfi Midin yang lumpuh sejak lebih dua tahun lalu di rumahnya di Kampung Baru, Pasir Pekan

TUMPAT: Perasaan sayu apabila suami yang selama ini menjadi tulang belakang untuk menyara hidup sekeluarga terbaring lumpuh di atas katil.

Dengan hanya mampu menggunakan isyarat mata sebagai tindak balas, Mohd Amin Kasyfi Midin, 34, diserang strok sejak lebih dua tahun lalu akibat penyakit darah tinggi yang dihidapi.

Sejak itu, dua anak dan isterinya yang sebelum ini bergantung hidup kepadanya kini terpaksa mengharapkan belas ihsan ahli keluarga lain.

Isterinya, Nor Azizah Ibrahim, 32, berkata sebelum diserang strok, beliau dan suaminya bekerja di Kuala Lumpur selama empat tahun dan kini beliau sendiri terpaksa berhenti kerja bagi menumpukan perhatian kepada suami.

"Wang simpanan kami semakin susut dan perbelanjaan untuk keperluan suami bagi susu dan lampin pakai buangnya mencecah RM1,000 sebulan.

"Baru-baru ini saya terpaksa mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) suami bagi membeli keperluannya kerana keadaan semakin terdesak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Pasir Pekan, di sini, hari ini.

Walaupun tidak berupaya menggerakkan anggota badan, kerdipan mata dan mulut yang bergerak menunjukkan Mohd Amin mendengar dan memberi tindak balas.

Nor Azizah berkata, walaupun hanya tindak balas sekecil itu, ia memadai untuk mereka berkomunikasi, sekali gus mampu menghilangkan perasaan rindunya untuk mendengar suara suaminya yang kali terakhir didengar lebih dua tahun lalu.

"Setiap hari saya memberi suami minum susu melalui tiub di saluran hidungnya sebanyak lima kali dan satu tin susu mampu bertahan untuk dua hari saja.

"Suami ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan dan jumlah itu hanya cukup untuk membeli lampin pakai buang," katanya.

Berita Harian X